Sabtu, 11 Mei 2019 | 9:39am
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. - Foto AFP

Hanya kemenangan elak City musnah -Guardiola

BRIGHTON, UNITED KINGDOM: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mahu anak buahnya menggunakan kelebihan kedudukan di tangga teratas liga ketika ini untuk terus mengekalkan kejuaraan ketika berdepan aksi penentuan terakhir di gelanggang Brighton, esok.

City bertandang ke gelanggang lawan dengan kelebihan satu mata ketika seteru utama Liverpool menunggu kunjungan Wolves sambil berharap skuad Guardiola tercicir di tangan Brighton untuk mereka muncul juara selepas kemarau 29 tahun.

Guardiola terpaksa menunggu kunjungan terakhir menentang Brighton untuk mengetahui sama ada mereka mampu merakam kemenangan ke-14 liga sekali gus mempertahankan gelaran.

Liverpool turut beraksi cemerlang dan berjaya menekan City dalam perebutan itu dengan merakam lapan kemenangan dan mara ke final Liga Juara-Juara bertemu Spurs di Madrid, bulan depan.

Jika menang esok, City akan menamatkan musim dengan 98 mata, kurang dua mata berbanding musim lalu.

"Ia satu kelebihan. Ia memang satu imipian untuk berada di sini, sejujurnya, saya tidak jangkakan perkara ini bulan lalu apabila kami ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool dan kembali ke posisi kami berada sekarang.

"Kami berpeluang muncul juara jika menang dan itulah yang kami perlu lakukan.” 

Namun skala yang dipamerkan anak buah Jurgen Klop dengan kebangkitan menakjubkan The Reds ketika menyingkirkan Barcelona 4-0 di Anfield Selasa lalu untuk final kedua Liga Juara-Juara harus merunsingkan Guardiola.

City mampu melakar sejarah sebagai kelab Liga Perdana pertama menang tiga trofi dalam liga domestik semusim tanpa mengambil kira keputusan Liverpool menentang Wolves esok apabila berpeluang merangkul trofi ketiga apabila berdepan Watford dalam final Piala FA, Sabtu depan.

Namun disebalik kejayaan musim ini, Guardiola mahu City menamatkan musim ini sebagai juara sekali lagi bagi mengelak pasukan itu ‘musnah’ di tangan pengriktik mereka.

"Kami sudah melihatnya dalam Liga Juara-Juara. (Barcelona dan Ajax) kalah sekali, tetapi semua orang membantai pasukan itu, menghentam pengurus dan kelab,” kata Guardiola.

"Kami tahu bumi mana yang kami pijak, kami mesti melakukan yang terbaik dan mesti menang.”

City sudah meledak 157 gol dalam semua kejohanan musim ini, namun terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan untuk mengetahui kedudukan juara dan terselamat selepas menang tipis 1-0 pada empat aksi terakhir mereka minggu lalu.

City berterima kasih kepada kapten Vincent Kompany, yang meledak gol jarak jauh 22 meter dalam tempoh 12 tahun ketika mengatasi Leicester 1-0 Isnin lalu dan jaringan ‘nasib’ Sergio Aguero di Burnley yang melintasi sedikit garisan gol lawan seminggu sebelumnya.

"Dalam perlawanan terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. Satu kesilapan di pihak kami, satu prestasi menakjubkan pihak satu lagi, satu kesilapan daripada pengadil akan menjadi penentu siapa yang menang,” kata Guardiola. 

"Sebab itu kami perlu lebih tajam, beraksi lebih baik dan cuba sedaya upaya memenangi perlawanan itu,”

Semangat City kembali meningkat apabila Kevin de Bruyne disah mampu kembali beraksi namun bakal kehilangan pemain tengahnya, Fernandinho dalam penentuan terakhir esok. – AFP

Berita Harian X