Jumaat, 10 Mei 2019 | 6:06pm
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Sairien Nafis
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Sairien Nafis

FAM sokong idea 'Wembley Malaysia'

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik idea Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Tan Sri Tony Fernandes untuk menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai 'Wembley Malaysia'.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya menyambut baik idea diutarakan Fernandes untuk stadium berkapasiti 85,000 tempat duduk itu ke arah 'Pengalaman di Wembley' dan melihat ia mampu beri manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

"Kami menyokong sepenuhnya cadangan PSM bagi menjadikan KLSC (Bandar Sukan Kuala Lumpur) destinasi menarik untuk semua. 

"Beberapa cetusan idea baharu, termasuk lawatan ke stadium untuk pengunjung dan kedai menjual barangan rasmi yang tetap. Sebagai pelanggan, FAM gembira dapat bekerjasama dengan Perbadanan Stadium," katanya ketika menerima kunjungan hormat Fernandes di Wisma FAM, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam manakala Fernandes diiringi ahli lembaga pengarah Perbadanan Stadium, Radzi Tajuddin.

Sementara itu, Fernandes berkata dengan pengalaman dimilikinya, beliau berhasrat menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tumpuan.

"Kami gembira bertemu dengan Hamidin dan FAM. Dengan pengalaman saya dalam industri penerbangan, sukan dan hiburan, kami bercadang menjadikan Stadium Nasional sebagai pusat tumpuan bola sepak utama di rantau ini," kata Fernandes.

 

 

Berita Harian X