Rabu, 8 Mei 2019 | 11:17am
PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker. - Foto EPA
PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker. - Foto EPA

Macam 'mimpi' - Alisson

LIVERPOOL: Penjaga gol Liverpool, Alisson menggambarkan kebangkitan menakjubkan Reds menyingkirkan Barcelona di separuh akhir Liga Juara-Juara bagaikan ‘mimpi’.

Ironinya, ini kali kedua penjaga gol kelahiran Brazil itu menempuh situasi sama selepas turut membantu kelab Itali, AS Roma menyisihkan gergasi Sepanyol itu di peringkat suku akhir musim lalu.

Liverpool mara ke final dengan cukup bergaya selepas menang 4-0 pada aksi kedua di Anfield, awal pagi tadi sekali gus mengatasi defisit kekalahan 3-0 di Nou Camp, minggu lalu.

Barca turut mengharungi kempen mengecewakan di pentas Eropah musim lalu apabila tewas 3-0 pada aksi suku akhir kedua di Roma, yang turut dikuatkan oleh Alisson selepas mencatat kemenangan 4-1 di gelanggang sendiri pada aksi pertama.

Justeru, penjaga gol berusia 26 tahun itu mahukan kejayaan lebih membanggakan bersama Reds di pentas final yang dijadual di Madrid, bulan depan.

“Perasaan yang menakjubkan, perlawanan yang sukar dipercayai dan usaha yang hebat,” kata Alisson. “Ia sudah berlaku kepada saya ketika Roma menyingkirkan Barcelona tahun lalu.

“Saya gembira apabila dapat membantu rakan sepasukan seperti ini... Ia menakjubkan, ia bagaikan mimpi. Kini kami mempunyai satu objektif, untuk memenangi final Liga Juara-Juara.

“Kami bekerja keras pada tahun ini dan kami bersedia untuk berdepan Barcelona. Pada perlawanan pertama, Barcelona melepaskan peluang besar pada saat akhir kerana mereka boleh menjadikan kedudukan 4-0. Jika 4-0, ia pasti menyukarkan kami untuk bangkit tetapi 3-0, kami masih percaya.

“Kami mencipta kebangkitan yang menakjubkan dan peminat sentiasa berada di belakang kami. Ia malam yang sukar untuk dilupakan.”

Sebelum bertemu sama ada Ajax atau Tottenham di final yang dijadual pada 2 Jun ini, Liverpool akan mengharungi perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Wolves, Ahad ini. - Agensi

Berita Harian X