X
Ahad, 5 Mei 2019 | 8:28pm
KETUA jurulatih Selangor, B Sathianathan. - Foto Rasul Azli Samad
KETUA jurulatih Selangor, B Sathianathan. - Foto Rasul Azli Samad

Jangan terlalu 'tekan' Ifedayo - Sathianathan

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan berharap semua pihak tidak meletakkan tekanan tinggi ke atas pemain import baharu Red Giants, Ifedayo Olusegun.

Beliau bagaimanapun percaya penyerang dari Nigeria itu mampu mengatasi masalah ketumpulan penyudah yang dihadapi Selangor ketika ini.

Katanya, masalah itu turut menjadi punca pasukannya terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Melaka United 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

"Kami ada banyak peluang, cuma penyudah (tiada) dan saya harap kehadiran Ifedayo dapat mengatasi masalah ini. Kami tak boleh harapkan Syazwan (Zainon), Syahmi Safari atau Sandro (Da Silva) kerana kami perlukan penyerang.

"Saya boleh cakap dia (Ifedayo) bukan hanya penjaring gol, tapi dia juga mampu membantu pemain lain. Dia boleh boleh ikut cara permainan kami, itu yang saya nampak.

"Dia pernah bersama saya di FELDA United, jadi saya tahu kualitinya dan bila dia hubungi saya serta menyatakan minat untuk sertai pasukan (Selangor), saya ambil peluang itu.

"Tapi jangan kita bagi dia tekanan kerana bola sepak bukan hanya bergantung kepada seorang pemain. Kami kena bersama-sama kuatkan pasukan, semua kena bekerja keras," kata Sathianathan.

Sementara itu, jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui sedikit kecewa dengan aksi 45 minit pertama yang dipamerkan anak buahnya.

Bagaimanapun, beliau tetap bersyukur selepas barisan pemain skuad Hang Tuah bangkit di babak kedua untuk membawa pulang satu mata.

"Separuh masa kedua pemain lebih bersemangat dan tersusun serta kami dapat jaringkan gol. Sepatutnya permainan kami di babak kedua sudah ditunjukkan pada separuh masa pertama," katanya.

Berita Harian X