Selasa, 30 April 2019 | 9:31pm

Hamidin akhiri perang Posa-MFL

KUALA LUMPUR: 'Perang' yang tercetus antara Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya menemui titik perdamaian.

Ia selepas satu pertemuan khas antara Posa dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Malah, pertemuan itu turut disertai Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Exco badan induk itu, Christopher Raj.

Menurut kenyataan daripada FAM, pada pertemuan dan perbincangan itu, Posa diberi peluang untuk meluahkan perkara yang membuatkan dia berasa tidak puas hati terhadap MFL.

“Selepas mendengar nasihat dan pandangan daripada Hamidin, beliau (Posa) akhirnya bersetuju untuk tidak berterusan memanjangkan kemelut berkenaan menerusi media," kata FAM.

“Hasil kesepakatan bersama yang dicapai, hari ini, Posa akhirnya akur untuk isu yang dibangkitkannya itu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya dapat diselesaikan menerusi semangat solidariti sesama keluarga bola sepak Malaysia.

"Selain menerima dan menurut nasihat berkaitan bola sepak yang diberikan Hamidin, Posa turut menyatakan bahawa selaku presiden salah satu ahli gabungan FAM, dia akan terus memastikan FAS kekal menyokong FAM di bawah kepimpinan Hamidin sebagai badan induk bola sepak negara."

Posa sebelum ini melancarkan perang terhadap MFL dengan mendakwa badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu gagal menjaga kepentingan rakan kongsi atau pasukan bertanding.

Malah, Posa turut mendakwa MFL berdepan pelbagai hutang termasuk membabitkan geran tahunan kepada pasukan selain mendesak Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam melepaskan jawatan secara terhormat.

Namun, Kevin seperti yang dilaporkan BH Sukan, semalam menegaskan pihaknya sudah menjawab segala tuduhan atau dakwaan yang dibuat Posa sebelum ini termasuk mendedahkan akaun kewangan MFL dan surat polisi insurans yang menjadi pertikaian Presiden FAS itu.

Berita Harian X