Selasa, 30 April 2019 | 7:43am
PEMAIN tengah Dortmund, Marco Reus (tengah) dilayang kad merah selepas mengasari pemain Schalke 04 pada aksi Bundesliga. - Foto EPA
PEMAIN tengah Dortmund, Marco Reus (tengah) dilayang kad merah selepas mengasari pemain Schalke 04 pada aksi Bundesliga. - Foto EPA

Kad merah Reus, Wolf jejas peluangDortmund

BERLIN: Peluang Borussia Dortmund untuk menjulang gelaran Bundesliga terjejas apabila kaptennya, Marco Reus hari ini digantung dua perlawanan manakala Marius Wolf terlepas tiga aksi susulan menerima kad merah dalam perlawanan yang menyaksikan mereka selaku tuan rumah dikejutkan 2-4 di tangan Schalke 04, Sabtu lalu.

Pada perlawanan itu, Reus dibuang padang pada minit ke-60 selepas mengasari Suat Serdar.

Lima minit kemudian, Wolf pula dilayangkan kad merah selepas menerjah pemain sama.

Hukuman ke atas Wolf menyaksikan dia bakal terlepas semua baki perlawanan musim ini manakala Reus akan hanya kembali ke padang untuk perlawanan terakhir menentang Borussia Moenchengladbach.

REAKSI pemain Schalke, Daniel Caligiuri (kiri) meraikan gol ketika menentang Dortmund. - Foto Reuters
REAKSI pemain Schalke, Daniel Caligiuri (kiri) meraikan gol ketika menentang Dortmund. - Foto Reuters

Setakat ini, Reus sudah menjaringkan 16 gol dan tanpa kelibatnya, kempen Dortmund untuk memintas Bayern Munich kini berdepan cabaran besar.

Sejurus tamat perlawanan Sabtu lalu, jurulatih Dortmund, Lucien Favre kelihatan sudah menyerah kalah dalam perebutan gelaran biarpun anak buahnya hanya terpisah dua mata di belakang Bayern selepas pasukan pendahulu liga itu juga terikat 1-1 di Nuremberg, pada Ahad. – Reuters

Berita Harian X