Khamis, 25 April 2019 | 5:47pm
PENGURUS Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang tekad kekal rekod tanpa kalah dilaman sendiri. - NSTP/Owee Ah Chun
PENGURUS Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang tekad kekal rekod tanpa kalah dilaman sendiri. - NSTP/Owee Ah Chun

Pahang mahu benam JDT, kekal rekod tanpa kalah

 

KUANTAN: Skuad Tok Gajah turun dengan dua misi penting apabila melayan kunjungan Harimau Selatan di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super, Pahang turut mempunyai misi membenam cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) di hadapan penyokong setia mereka.

Pengurus Pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan sepenuhnya pemain bagi menafikan hasrat JDT mengutip mata.

"Ini peluang terbaik untuk kita catat kemenangan dan merampas kedudukan teratas Liga Super daripada mereka (JDT).

"Kita mempunyai rekod yang baik dan belum lagi tewas dalam saingan Liga Super setakat ini, jadi saya minta semua pemain tampil dengan aksi konsisten dalam perlawanan hujung minggu ini," katanya.

Mohammed Suffian berkata, perkara utama perlu diberi perhatian pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh ialah memantapkan jentera serangan selain melakukan percaturan dan pemilihan pemain terbaik di bahagian tengah.

"Semua pemain sudah mempamerkan aksi terbaik mereka (dalam perlawanan sebelum ini) dan terpulang kepada Dollah untuk tentukan corak taktikal akan digunakan.

"Sudah pasti perlawanan malam Ahad ini juga banyak bergantung kepada sokongan daripada peminat setia skuad Tok Gajah... tanpa mereka, pasukan Pahang seolah-olah kehilangan semangat juang.

"Jadi, saya minta semua penyokong dan peminat setia Pahang turun beramai-ramai membanjiri Stadium Darul Makmur bagi memberikan motivasi serta suntikan semangat kepada pemain," katanya.

Selepas 10 perlawanan, skuad kendalian Dollah merekodkan tujuh kemenangan dan tiga seri dengan mengutip 24 mata, dibezakan dua mata dengan JDT selaku pendahulu.

Berita Harian X