Selasa, 23 April 2019 | 9:53am
Mauricio Pochettino. - Foto AFP

Fokus Spurs lebih kepada lawan Brighton

LONDON: Tottenham Hotspur mengakui hanya memberi tumpuan penuh kepada pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton, awal pagi esok dan bukannya aksi separuh akhir Liga Juara-Juara bertemu Ajax pada minggu depan, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Spurs mengekalkan kedudukan ketiga liga walaupun tumpas 0-1 di Manchester City manakala Arsenal turut gagal memanfaatkan peluang terhidang berikutan kekalahan 2-3 di tangan Crystal Palace, kelmarin.

Chelsea dan Manchester United turut kekal berada dalam pemburuan itu, dan dengan hanya tiga mata memisahkan keempat-empat kelab, Pochettino berkata buat masa ini pertarungan kedudukan empat terbaik EPL menjadi keutamaannya.

“Kami belum memikirkan Ajax,” kata Pochettino berhubung aksi separuh akhir Liga Juara-Juara yang kali terakhir pasukan itu menjejak kaki ke pentas sama pada 1962.

“Kami sudah mempamerkannya di Manchester City bahawa kami hanya memikirkan satu demi satu perlawanan dan untuk hari ini pastinya fokus kami hanya untuk EPL.

“Sekarang ini kami akan berkunjung ke Brighton. Amat jelas sekali kami mempunyai dua objektif, yang pertama meraih kedudukan empat terbaik pada akhir musim dan yang kedua menewaskan Ajax.”

Pochettino yang sebelum ini sudah kehilangan peledak berbisa, Harry Kane turut perlu melupakan khidmat gandingan tengahnya Moussa Sissoko dan Harry Winks bagi pertemuan pagi esok.

Kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan pangkal paha dan peluang mereka untuk diturunkan bagi aksi berdepan Ajax turut diragui.

“Moussa Sissiko mungkin tidak sempat untuk kembali cergas bagi tempoh dua minggu,” kata Pochettino. “Kami berharap dia akan segera pulih, tetapi saya tidak begitu optimis.

“Harry Winks, kami masih belum tahu sejauh mana kecederaannya, ada hari dia tampak baik saja, namun keesokan harinya tidak OK. Jadi kami perlu menilai keadaannya setiap hari.” – AFP

Berita Harian X