Isnin, 22 April 2019 | 2:08pm
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. - Foto Rasul Azli Samad

Jurulatih Jepun latih Harimau Muda dulu - Sathianathan

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyatakan bukan langkah sesuai untuk mengambil jurulatih dari Jepun atau Korea Selatan bagi membimbing Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Sebaliknya, Sathianathan berpendapat, jalan terbaik adalah dengan memberikan tanggungjawab buat jurulatih Jepun atau Korea Selatan bermula dengan skuad muda negara terlebih dahulu.

Katanya, ia bagi memastikan segala taktikal dan corak permainan ala Jepun atau Korea Selatan dapat diterapkan dari peringkat muda sebelum bergerak ke pasukan kebangsaan.

"Kalau nak bawa terus masuk skuad kebangsaan memang susah sebab apa yang saya lihat Jepun dan Korea Selatan banyak tekankan kepantasan, taktikal dan fizikal. Jadi sukar untuk pemain Harimau Malaya yang ada sekarang untuk ikut cara itu.

"Macam Vietnam, mereka bawa jurulatih Korea Selatan (Park Hang-Seo) bermula dengan skuad bawah 19 (B-19) tahun hingga membimbing pasukan kebangsaan mereka sekarang. Dia mula pegang skuad B-19 Vietnam dan masa itu pemain berusia antara 17 hingga 18 tahun.

"Boleh nak bawa jurulatih dari Jepun atau Korea, tapi seeloknya bermula dengan skuad B-19, seterusnya ke skuad B-23, mungkin bagi peluang dia untuk harungi dua Sukan SEA dan dia akan pilih pemain ikut cara latihan dia. Selepas itu barulah bagi uruskan skuad kebangsaan," katanya kepada BH Sukan.

Semalam, legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun mencadangkan supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan khidmat jurulatih dari Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Dia berpandangan pasukan bola sepak negara wajar mencontohi skuad Jepun dan Korea Selatan yang kini antara pasukan paling berjaya di Asia dengan pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi di Kejohanan Piala Dunia FIFA.

Selain itu, Sathianathan turut berharap FAM dapat memilih individu yang mempunyai standard terbaik jika benar-benar mahu mendapatkan jurulatih dari dua negara itu.

"Jangan hanya kerana dia dari Jepun atau Korea, terus ambil jadi jurulatih. Macam Vietnam, jurulatih yang mereka ambil itu pernah menjadi penolong jurulatih Piala Dunia selain berpengalaman membimbing kelab Korea Selatan.

"Jadi jangan kita 'tangkap muat' pula. Apa yang penting kita bagi masa, cuma masalahnya kita tidak sabar, tak nak tunggu dua atau tiga tahun.

"Ini tidak, lepas main dua tiga perlawanan dan kalah kita sudah bising. Macam Nelo Vingada dulu, bila pasukan negara kalah orang sudah suruh buang dia," katanya.

Berita Harian X