Khamis, 18 April 2019 | 12:11pm

Bekas pemain bola sepak negara meninggal dunia

KOTA BHARU: Bekas pemain bola sepak negara Wan Hassan Wan Ibrahim meninggal dunia petang semalam di rumahnya di Kampung Cherang di sini, akibat kegagalan fungsi paru-paru.

Jenazah Allahyarham Wan Hassan, 68, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang pada pukul 10.15 pagi ini.

Anak bongsunya, Wan Fadhilah, 38, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.30 petang semalam setelah dua tahun menderita lumpuh separuh badan. 

“Doktor mengesahkan paru-paru ayah tidak berfungsi dengan baik dan tersumbat dengan kahak yang banyak,” kata Wan Fadhilah.

Wan Hassan lumpuh separuh badan sejak pertengahan tahun 2017 dan kesihatannya mulai merosot selain susut tubuh badan bermula awal tahun ini.

Kariernya Allahyarham bermula pada usia 16 tahun selepas mewakili Kelantan untuk skuad Piala Burnley pada tahun 1968.

 

Kelincahannya selaku perancang di bahagian tengah membolehkan beliau diserapkan ke dalam skuad Piala Malaysia pada tahun 1970 sebelum dipilih menyertai skuad Malaysia B pada pertandingan Pestabola Merdeka setahun kemudian. 

Pada tahun 1972 pula, Wan Hassan dipilih menyertai skuad utama Malaysia bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok serta kelayakan Piala Dunia 1972 termasuk mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan di Seoul.

 

Selepas bersara pada tahun 1980, beliau dilantik selaku pengurus pasukan Kelantan selama dua tahun. - BERNAMA

Berita Harian X