Isnin, 15 April 2019 | 12:39am
PEMAIN Bayern Munich, Robert Lewandowski (kiri) mengasak pemain Fortuna Duesseldorf, Andre Hoffmann pada aksi Bundesliga di Duesseldorf, malam tadi. - Foto EPA

Bayern rampas takhta Bundesliga

BERLIN: Penyandang juara, Bayern Munich mengatasi Fortuna Duesseldorf 4-1, malam tadi dengan pemain sayap Kingsley Coman menyumbat dua gol sekali gus mendaki ke carta teratas Bundesliga.

Kemenangan menyaksikan gergasi Bavarian itu mengumpul 67 mata, dengan pencabar utama Borussia Dortmund mengutip 66 mata selepas turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Mainz 05, semalam berbaki lima perlawanan.

RB Leipzig ketiga selepas mengumpul 58 mata.

Bayern melakukan tekanan sejak awal permainan dan ia berhasil apabila Coman yang memperoleh ruang untuk menjaringkan gol melakukan rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol lawan, Michael Rensing pada minit ke-15.

Pendahulu penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski hampir menambah kelebihan Bayern pada minit ke-23 tetapi sepakan percumanya sedikit melepasi palang.

PEMAIN Bayern Munich, Coman (kiri) diasak pemain Fortuna Duesseldorf, Kaan Ayhan pada aksi Bundesliga di Duesseldorf, malam tadi. - Foto EPA

Sekali pun memiliki 60 peratus penguasaan bola, pelawat kadang kala bergelut dengan kerja keras yang dilakukan pertahanan Duesseldorf sebelum Coman meledak gol kedua peribadinya empat minit sebelum babak pertama berakhir.

Gol ketiga Bayern pula diperoleh pada babak kedua dan berpunca daripada sepakan sudut yang disempurnakan Serge Gnabry pada minit ke-55.

Bayern yang memburu gelaran ketujuh Bundesliga berturut-turut sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada babak kedua tetapi kebanyakan usaha dihentikan oleh Rensing yang juga bekas penjaga gol mereka.

Tuan rumah memperoleh jaringan saguhati apabila Dodi Lukebakio menyempurnakan sepakan penalti susulan tindakan Mats Hummels memegang bola di kawasan penalti sebelum Bayern meledak gol keempat menerusi Leon Goretzka pada masa kecederaan. - Reuters

PEMAIN Bayern Munich, Leon Goretzka meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Fortuna Duesseldorf pada aksi Bundesliga di Duesseldorf, malam tadi. - Foto EPA

Berita Harian X