Sabtu, 13 April 2019 | 12:49am
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan. - Foto Fathil Asri
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan. - Foto Fathil Asri

Potong mata, Bibi salahkan KRW

KOTA BHARU: Kelewatan bayaran tunggakan gaji bekas Pengarah Teknikal Kelantan, Alfredo Gonzales oleh Kelantan Red Warriors (KRW)-My Inspiration menjadi punca Kelantan tercicir tiga mata dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, berdasarkan perjanjian awal syarikat terbabit bersetuju menyelesaikan beberapa tunggakan gaji bekas pemain dan bekas jurulatih mengikut tarikh yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Selepas KRW mengambil alih pada awal tahun ini, mereka bersetuju untuk membayar semua hutang yang ditanggung KAFA termasuklah tuntutan gaji Alfredo seperti yang diarahkan FIFA,” kata Bibi.

"Namun akibat kemelut gaji tertunggak melanda pasukan pada bulan Februari dan Mac, tuntutan gaji Alfredo yang sepatutnya dibayar juga turut tertunggak sehingga melebihi tarikh akhir." 

Kelantan dipotong tiga mata selepas gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata KAFA gagal menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pengarah teknikalnya itu.

Kelantan menghadapi masalah kewangan selepas My Inspiration Sdn Bhd yang menguasai 70 peratus saham KRW Sdn Bhd mengumumkan pembatalan kerjasama dengan KAFA berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman FIFA itu jelas memberi `tamparan' hebat kepada pasukan terbabit yang kini hanya tinggal empat mata sekali gus turun ke tangga 10 Liga Perdana.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata, pihaknya bagaimanapun terpaksa menerima perkara ini dengan hati terbuka memandangkan keadaan semasa yang menghimpit persatuan.

"Saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan apa yang saya amat harapkan supaya pemain jangan mudah patah semangat dengan tindakan ini.

"Pemain perlu bangkit mencipta kemenangan dalam perlawanan seterusnya untuk mengembalikan kedudukan kita dan mencapai misi untuk kembali ke Liga Super musim hadapan," katanya.

Berita Harian X