Sabtu, 13 April 2019 | 12:45am
Mohamed Salah dan Eden Hazard. - Foto AFP

Bolehkah The Blues halang Liverpool jadi juara?

KOLUM APA KATA EPL

MINGGU ini tumpuan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah antara dua kelab gergasi iaitu Liverpool dan Chelsea di Anfield. Perlawanan ini bakal berlangsung jam 11.30 malam esok waktu Malaysia.

Keputusan perlawanan ini seperti diketahui ramai, sangat penting bagi kedua-dua pasukan. Baik barisan The Reds bimbingan Jurgen Klopp atau The Blues, didikan Maurizio Sarri, kekalahan paling ingin dielak bagi aksi ini.

Tiga mata bagi Liverpool sebaik wisel penamat dibunyikan pada aksi dilaman sendiri itu, bererti mereka kekal di landasan untuk merangkul kejuaraan liga. Andai seri atau kalah, sudah pasti sedikit sebanyak memudarkan peluang mereka untuk terus mencabar Manchester City di puncak.

Sebelum aksi ini, Klopp dan barisannya mendahului City dengan kelebihan dua mata hasil himpunan 82 mata menerusi 33 aksi. Namun The Citizens bimbingan Pep Guardiola kurang satu perlawanan.

Buat Chelsea pula, kemenangan akan memastikan mereka terus kekal berada dalam kelompok empat terbaik untuk slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Ketika ini, The Blues berada di tangga ketiga liga, hasil kejayaan mengumpul 66 mata menerusi 33 perlawanan.

Pesaing di tangga keempat, Tottenham Hotspur, ketinggalan dua mata tapi memiliki kurang satu aksi. Begitu juga Arsenal yang berada setakuk di bawah. Hanya ketinggalan tiga mata dan satu perlawanan kurang daripada The Blues.

Minggu ini semua pesaing The Blues itu akan turun beraksi dan berpeluang naik, jika Chelsea tewas.

Melihat kepada kedudukan semasa dan sasaran kedua-dua pasukan, jelas sekali perlawanan di Anfield ini harus paling dinanti-nantikan banyak pihak. Bukan saja oleh penyokong tegar masing-masing, malah pesaing lain mereka.

Jadi bagaimana peluang kedua-dua pasukan untuk menang? Adakah Liverpool memiliki kelebihan berbanding Chelsea terutama dari segi sokongan penonton di laman sendiri? Atau pun sebaliknya buat The Blues?

Jika mengimbas aksi terakhir di Stamford Bridge pada 29 September lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1. Malah dalam pertemuan terakhir di Anfield pada 25 November 2017, ia juga berakhir dengan keputusan serupa.

Namun jika meniti enam aksi terakhir Liverpool bagi semua pertandingan musim ini, mereka mempamerkan prestasi cemerlang apabila memenangi semuanya termasuk menentang Porto (2-0) saingan suku akhir Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu dan bertemu Spurs (2-1).

Chelsea pula tewas mengejut pada Everton (0-2) pada aksi liga selain terikat 1-1 dengan Wolves. Kelmarin, mereka mengatasi kelab Slavia Praha, 1-0 saingan suku akhir Liga Eropa. Ini semua kita jangka bakal menjadikan aksi di Anfield esok terus `mendidih’ sehingga ke wisel penamat.

Sementara itu, City yang juga penyandang juara berdepan ujian getir apabila berkunjung ke Selhurst Park bertemu Crystal Palace, dua jam sebelum aksi Liverpool-Chelsea. Mungkin ramai masih ingat pada 22 Disember lalu, rekod cemerlang City musnah buat pertama kalinya musim ini apabila tewas 2-3 di tangan skuad Roy Hodgson.

Apakah `tragedi’ sama akan berulang? Jika ia benar-benar berlaku, maka Guardiola sudah pasti berdepan tugas berat mempertahankan kejuaraan musim ini. Dengan motivasi sedikit terjejas selepas tewas 0-1 kepada Spurs saingan Liga Juara-Juara, kebangkitan mungkin berlaku di Selhurst Park.

Sementara itu, peluang Arsenal yang menang 2-0 ke atas Napoli saingan Liga Europa, untuk menekan Spurs dan Chelsea dalam perebutan empat terbaik liga nampak cerah apabila dijadual bertemu Watford awal pagi Selasa ini, waktu Malaysia. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Leicester 2 Newcastle United 1

Tottenham 3 Huddersfield 0

Brighton 2 Bournemouth 2

Southampton 1 Wolverhampton 2

Fulham 0 Everton 2

Burnley 2 Cardiff City 1

Man United 2 West Ham 1

Crystal Palace 2 Man City 3

Liverpool 2 Chelsea 1

Watford 1 Arsenal 2

Berita Harian X