Isnin, 8 April 2019 | 7:57am
Pemain Napoli, Kalidou Koulibaly (kanan) bersaing dengan pemain Genoa, Christian Kouame pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Pemain Napoli, Kalidou Koulibaly (kanan) bersaing dengan pemain Genoa, Christian Kouame pada aksi perlawanan Serie A, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Napoli tangguh keraian Juve

MILAN: Keputusan seri 1-1 di antara Napoli dan Genoa, awal pagi tadi memastikan Juventus perlu menunggu seminggu lagi untuk mengesahkan gelaran kelapan berturut-turut Serie A.

Penyandang juara itu memiliki kelebihan 20 mata di atas pasukan tangga kedua, Napoli berbaki tujuh perlawanan.

Selepas menewaskan AC Milan 2-1, Sabtu lalu, Napoli perlu tewas perlawanan menentang Genoa bagi mengesahkan gelaran Scudetto lebih awal buat Juventus menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax, minggu depan.

Begitupun, keputusan seri menentang kelab bawahan SPAL, hujung minggu ini sudah cukup buat skuad kendalian Massimiliano Allegri mengesahkan kejuaraan ke-35 Serie A tetapi pertama buat bintangnya, Cristiano Ronaldo.

Pada perlawanan menentang Genoa yang beraksi 10 pemain, Napoli bergelut untuk melakukan cubaan berbahaya sekali pun mengawal permainan.

Genoa yang ‘menghadiahkan’ satu-satunya kekalahan kepada Juventus musim ini terpaksa beraksi 10 pemain selepas Stefano Sturaro diarahkan keluar pada minit ke-28 susulan penilaian semua kekasarannya terhadap Allan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Dries Mertens meletakkan Napoli di depan pada minit ke-34 tetapi Darko Lazovic menyamakan kedudukan buat Geoa sebelum rehat.

Penjaga gol Genoa, Ionut Radu mengesahkan satu mata menjadi milik pasukannya apabila melakukan deretan aksi menyelamat hebat termasuk percubaan baik daripada Mertens dan Kalidou Koulibaly.

“Ia prestasi di luar jangkaan yang menyebabkan loceng amaran berbunyi, jika kami bermain seperti ini di London, kami akan berdepan masalah,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti menjelang aksi Liga Europa melawan Arsenal minggu depan.

“Kami betul-betul perlu bangkit, menunjukkan nilai dan potensi dalam pasukan ini dan mencari semula identiti sebenar kami. Tetapi kami bertuah apabila mempunyai empat hari untuk memperbaikinya.”

Sementara itu, Atalanta terlepas peluang untuk melangkah ke kedudukan keempat yang juga tiket ke Liga Juara-Juara selepas diikat tanpa jaringan oleh Inter Milan di San Siro. - AFP

Berita Harian X