Sabtu, 30 March 2019 | 9:44pm
PEMAIN pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.

'Tindakan Reds beli Van Dijk tepat'

LONDON: Pengurus Tottenham Mauricio Pochettino berkata Virgil van Dijk membuktikan nilai mahalnya £75 juta (RM399 juta) adalah berbaloi buat Liverpool.

Pertahanan tengah Belanda itu menjadi pemain pertahanan termahal dunia apabila menyertai skuad kendalian Jurgen Klopp dari Southampton, Januari tahun lalu.

Van Dijk, 27, menjadi antara tonggak bagi Liverpool mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini dan disifatkan sebagai pemain paling penting oleh legenda Reds, Sami Hyypia.

Justeru Pochettino kagum dengan pengaruh yang dibawa pemain itu di Anfield dan berkata tindakan Reds untuk berbelanja besar bagi mendapatkan khidmatnya adalah tepat.

“Apabila pasukan seperti Liverpool memerlukan pembaikan dalam pasukan di bahagian tertentu, orang berkata adalah gila untuk membayar lebih £70 juta (RM372 juta) untuk pertahanan tengah,” kata Pochettino.

“Tetapi Liverpool betul. Mereka membeli Van Dijk kerana ketika itu mereka percaya dia adalah pertahanan tengah terbaik di England yang mampu menjadikan mereka lebih baik, dan mereka betul.

“Sesetengah orang berkata, ‘Mengapa kamu sanggup membayar £70 juta (RM372 juta) untuk pertahanan tengah?’ tetapi orang yang percaya perkara lain kini ditunjukkan yang Liverpool adalah betul.

“Jika kamu menandatangani pemain yang akan meningkatkan kualiti permainan kamu, jadi ia bukan wang yang banyak. Kerana apabila kamu membuat pertimbangan yang ia bermakna memenangi Liga Juara-Juara atau Liga Perdana, ia adalah murah.”

Ketika Liverpool memperoleh manfaat pelaburan besar seperti membeli Van Dijk, Pochettino mengakui dia terpaksa menggunakan skuad yang sama seperti musim sebelumnya.

Spurs ketika ini ketinggalan 15 mata di belakang Liverpool menjelang pertemuan kedua-duanya di Anfield esok dengan pengendali dari Argentina itu bertekad untuk bangkit selepas mengharungi empat perlawanan liga tanpa kemenangan. - Agensi

Berita Harian X