Sabtu, 23 March 2019 | 11:36pm
PEMAIN Jerman ketika sesi latihan. - Foto EPA
PEMAIN Jerman ketika sesi latihan. - Foto EPA

Goretzka, Gnabry kutuk peminat 'rasis'

BERLIN: Bintang Jerman, Leon Goretzka dan Serge Gnabry mengutuk serangan berbaur perkauman yang ditujukan terhadap rakan sepasukannya Leroy Sane dan Ilkay Gundogan ketika aksi persahabatan menentang Serbia, Khamis lalu.

“Langsung tidak masuk akal untuk bersorak kepada seorang pemain dan menghina seorang lagi kerana warna kulit mereka. Perkauman tidak mempunyai tempat di stadium atau di mana-mana saja dalam masyarakat,” kata Gnabry, 23, kepada akhbar Jerman Bild. 

Semalam, polis Jerman mengesahkan tiga lelaki di antara usia 30 dan 40 tahun menyerah diri selepas seorang peminat, yang juga wartawan sukan Andre Voigt, memaparkan satu rakaman video di Facebook.

Voigt, yang menyaksikan perlawanan berkenaan sebagai penyokong menjelaskan dalam video berkenaan bagaimana ada peminat yang duduk di belakangnya berulang kali mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Sane dan Gundogan.

Sane mempunyai susur galur Senegal manakala Gundogan, Turki.

“Saya tidak pernah ingat yang saya pernah dihina seperti itu tetapi ia memberi kesan kepada saya kerana saya mempunyai warna kulit yang sama seperti Leroy,” kata Gnabry yang bapanya berasal dari Ivory Coast.

“Amat menyedihkan yang perkara seperti ini berlaku pada 2019, dan adalah penting untuk mengeluarkan kata-kata pada tempoh seperti itu.”

Goretzka yang seperti Gnabry beraksi bersama Bayern Munich menggesa agar peminat bangkit jika perkara seperti itu berulang.

“Saya melihat video itu, dan adegan yang digambarkan olehnya membuatkan saya betul-betul marah,” kata Goretzka. 

Jerman dijadual bertemu Belanda bagi aksi kelayakan Euro 2020 di tempat lawan, awal pagi esok. - AFP

Berita Harian X