Sabtu, 23 March 2019 | 12:11pm
JOSE Mourinho. - Foto AFP
JOSE Mourinho. - Foto AFP

Mourinho sedia kembali ke Liga Juara-Juara

BASEL, Switzerland: Jose Mourinho bersedia untuk kembali ke tahap pengurusan tertinggi dan gelaran Liga Juara-Juara ketiga, kata bekas pengurus Real Madrid dan Manchester United itu dalam temubual bersama AFP.

Mourinho tidak bekerja sejak dipecat United pada Disember dan berkata dia gembira jika dilantik sebagai bos di kelab yang boleh menambah kejayaan peringkat Eropah seperti dilakukan bersama Porto pada 2003 dan Inter Milan tujuh tahun kemudian selain menyamai tahap Zinedine Zidane, Carlo Ancelotti dan Bob Paisley.

“Jika saya menang Liga Juara-Juara ketiga, ia hebat,” kata pengendali berusia 56 tahun itu.

“Saya mahu bermain pada tahap terbaik, iaitu Liga Juara-Juara.

“Saya mahu berada (dalam pemburuan Liga Juara-Juara tahun depan). Kadangkala anda tidak berada dalam saingan, tetapi anda perlu menang saingan lain.”

Mourinho, yang sudah menjadi jurulatih di Portugal selain England, Itali dan Sepanyol kini terbuka untuk kembali ke liga atau mengambil alih kelab di mana-mana.

“Saya boleh kembali ke negara yang saya sudah pernah berada dan secara jujur, saya gembira berada di mana-mana negara yang saya pernah bekerja,” katanya.

“(Atau) saya boleh cuba sesuatu yang sangat penting, iaitu bekerja di negara kelima dan cuba menang semuanya di negara kelima sama seperti yang pernah saya lakukan sebelum ini.” - AFP

Berita Harian X