Khamis, 7 March 2019 | 1:01am
JOSE Mourinho.
JOSE Mourinho.

90 peratus peluang Mourinho pulang ke Real

LONDON: Jose Mourinho berpeluang cerah untuk mengambil alih tugas Santiago Solari sebagai jurulatih, kata bekas presiden Real Madrid, Ramon Calderon.

Pengendali dari Portugal itu ‘menganggur’ sejak dipecat Manchester United pada Disember lalu berikutan prestasi buruk kelab Inggeris itu pada musim ini.

Sekali pun tempoh terdahulu Mourinho di Santiago Bernabeu turut dipalit kontroversi bersama pemain, pengurus berusia 56 tahun itu tetap dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol terutama selepas kelab itu mengharungi kempen yang sukar musim ini.

Real tersingkir daripada kancah Liga Juara-Juara di peringkat 16 terbaik selepas dimalukan kelab Belanda, Ajax 4-1 semalam, kurang seminggu mereka disisihkan Barcelona dalam saingan Piala Raja Sepanyol dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu La Liga itu selepas turut dikalahkan lawan sama minggu lalu.

Kegagalan untuk mencabar trofi utama pada musim ini meletakkan jawatan jurulatih, Solari dalam keadaan bahaya dan Calderon percaya hanya seorang individu yang akan dipanggil bagi menggalas tugas berkenaan.

“Bagi pendapat saya, jurulatih berikutnya adalah Mourinho,” kata Calderon. “Beliau satu-satunya jurulatih yang presiden hormat, beliau menyokongnya di sini setiap masa.

“Jika beliau tidak berada di sini pada musim seterusnya ia adalah kerana beliau (Mourinho) berkata tidak. Saya mendengar beberapa komen daripadanya di Bein Sports minggu lalu yang berkata: ‘Sudah tentu jika Real Madrid memanggil saya, saya pasti amat gembira dan amat bangga untuk kembali’. 

“Sudah tentu mengikut pandangan saya ia adalah 90 peratus, 90 peratus kemungkinan untuk Mourinho kembali lagi ke sini.”

Selain Solari, Calderon juga percaya bintang kelab itu, Gareth Bale yang diejek peminat Real selepas kekalahan kepada Barca turut akan mengangkat kaki daripada kelab berkenaan. - AGENSI 

Berita Harian X