Jumaat, 1 March 2019 | 5:44pm

Muktamad! Perlis tetap disingkir

KUALA LUMPUR: Tiada lagi 'pintu rahsia' yang akan dibuka kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengemukakan rayuan kedua berhubung pembatalan penyertaan skuad Singa Utara dalam Liga Perdana musim ini.

Ia kerana keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan PFA semalam adalah muktamad.

Ini sekali gus bermakna hasrat persatuan berkenaan untuk mengemukakan rayuan kedua tidak akan mengubah pendirian badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata tiada asas buat PFA mengemukakan rayuan kedua selepas persatuan negeri itu sudah diberikan ruang untuk mengemukakan dokumen sokongan kewangan.

Katanya, mengikut peraturan perlembagaan MFL, memang tiada ruang untuk membuat rayuan kedua.

"Keputusan sudah dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, semalam selepas PFA mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Perdana, 20 Februari lalu.

"Keputusan ini diambil kerana Perlis berdepan masalah tunggakan gaji pemain dan PFA dilihat tidak memiliki kewangan yang kukuh untuk meneruskan persaingan Liga Perdana musim ini.

“MFL percaya PFA boleh mengambil positif mengenai keputusan ini untuk memperkemaskan bahagian pengurusan, menyelesaikan tunggakan gaji serta merencana perancangan kewangan lebih kukuh untuk kembali bersaing dalam Liga M selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Semalam, MFL mengumumkan bahawa rayuan PFA untuk kembali beraksi dalam Liga Perdana musim ini ditolak sekali gus menyaksikan keputusan menyingkirkan skuad Singa Utara dikekalkan.

Dalam proses itu, antara dokumen yang diminta MFL adalah jumlah wang penajaan yang akan didepositkan dalam akaun escrow dengan peguam dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan aspek kewangan.

Bagaimanapun selepas mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh PFA, surat dari peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa mereka hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8 juta jika rayuan Perlis diterima.

Situasi itu jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.

Berita Harian X