Selasa, 26 Februari 2019 | 7:59pm
Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.
Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Perlis kemuka rayuan kekal di Liga Perdana

 

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menunggu hingga ke hari terakhir untuk mengemukakan rayuan selepas berjaya menghantar dokumen sokongan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Delegasi PFA diketuai Timbalan Presidennya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan, tiba di ibu pejabat MFL pada jam 2.30 petang tadi sebelum menyerahkan dokumen antaranya surat tajaan, kewangan serta perancangan rapi bagi musim 2019.

Abdul Karim berkata, pihaknya berharap dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat pertimbangan mengenai rayuan wakil Singa Utara sama ada boleh kembali bermain di Liga Perdana atau sebaliknya.

"Syukur Alhamdulilah pada hari ini kita dapat tunaikan janji kita kepada pihak MFL sebagaimana diberikan tempoh untuk kita serahkan dokumen-dokumen berkaitan dengan tempoh rayuan.

"Sebenarnya hari ini kita bertemu MFL untuk serahkan dokumen berkenaan tajaan, kewangan dan perancangan kita berserta dengan dokumen surat sokongan untuk dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi pertimbangan kita bermain semula di Liga Perdana 2019," katanya.

Menerusi keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 20 Februari lalu, penyertaan Perlis dalam aksi Liga Perdana dibatalkan selepas mendapati skuad Northern Lions itu tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Ketika ditanya mengenai tunggakan gaji pemain bagi musim 2018 dan 2019, Abdul Karim berkata masalah itu akan diselesaikan penaja baharu Perlis andai mereka dibenarkan kembali menyertai Liga Perdana.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Perlis akan menggunakan alternatif lain antaranya menggunakan geran tahunan jika Ahli Lembaga Pengarah MFL mengekalkan keputusan untuk membatalkan penyertaan Perlis.

"Berdasarkan apa yang kita persetujui bersama penaja, jika pihak MFL memberi kebenaran untuk kita terus bermain di Liga Perdana 2019, Perlis bersama penaja baharu yakin semua tunggakan gaji 2018 dan 2019 akan diselesaikan.

"Sekiranya MFL mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Perlis, kita akan berbincang balik dengan pihak MFL sebab kita terima maklumat baru-baru ini ada peluang untuk kita dapatkan semula geran tahunan daripada MFL dan tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu adalah mahu menyelesaikan tunggakan gaji," katanya.

Semenyara itu, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd mengesahkan PFA sudah mengemukakan dokumen dan proses selanjutnya adalah menyerahkan butiran itu kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membuat keputusan berhubung status Perlis.

Berita Harian X