Isnin, 25 Februari 2019 | 9:06pm
BEKAS Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Supian Ahmad
BEKAS Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie. - Foto Supian Ahmad

Pemain Perlis buat laporan polis

KANGAR: Seramai 18 pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) membuat dua laporan polis terhadap pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berhubung dakwaan penipuan kontrak dan penyelewengan wang pemain.

Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia mewakili 17 pemain lagi membuat laporan polis ke atas bekas Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie dan Timbalannya, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Katanya, kedua-dua mereka bertanggungjawab di atas kemelut melanda PNL2 sehingga kesemua mereka kini hilang pekerjaan.

"Laporan ke atas Datuk (Ahmad Amizal) dibuat kerana dia menjanjikan kontrak semusim dan kami semua diarahkan untuk menandatanganinya namun dia sendiri memungkirinya.

"Dia sendiri mengaku bahawa kontrak kami itu tidak sah kerana dia tidak menandatanganinya. 

“Perkara ini terbongkar pada 25 Januari lalu dalam pertemuan tertutup antara dia dan kami di sebuah hotel di daerah ini dan selama hampir dua bulan ini kami menjalani latihan secara buta," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Ezzrul berkata, Mohd Abdul Karim Khan didakwa menyeleweng lebih RM11,000 wang pemain PNL2 dengan alasan untuk membayar gaji barisan kejurulatihan 18 pemain.

"Namun selepas diperiksa oleh kami sendiri terhadap jurulatih, mereka tidak menerima sebarang bayaran seperti didakwa Karim malah dia turut mengutip RM500 setiap jurulatih untuk satu transaksi yang tidak jelas.

"Jadi kami nak tahu wang itu ke mana dan saya harap pihak polis menyiasat perkara ini. Bagi pihak pengurusan Liga Malaysia pula, saya harap mereka mengambil perhatian akan isu ini dan selesaikanlah dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan dua laporan berkenaan dan kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertindak menyingkirkan PFA daripada menyertai sebarang perlawanan Liga Malaysia berikutan kewangan badan induk itu dilihat tidak mampu bertahan sehingga penghujung musim ini.

 

 

Berita Harian X