Ahad, 24 Februari 2019 | 7:18am
MAURICIO Pochettino menghamburkan amarah terhadap pengadil, Mike Dean selepas peluang Tottenham untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris tersekat apabila tumbang 2-1 secara kontroversi kepada Burnley, semalam. - Foto Reuters

Spurs tumbang, Pochettino hilang sabar

LONDON: Mauricio Pochettino menghamburkan amarah terhadap pengadil, Mike Dean selepas peluang Tottenham untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris tersekat apabila tumbang 2-1 secara kontroversi kepada Burnley, semalam.

Sebelum perlawanan berlangsung di Turf Moor, skuad kendalian Pochettino berpeluang untuk merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu Manchester City.

Begitupun, sebaliknya berlaku apabila kelab dari London itu tampil dengan persembahan longlai yang menyaksikan Burnley meledak gol pembukaan menerusi Chris Wood pada babak pertama.

Tetapi kontroversi tercetus membabitkan jaringan Wood yang berpunca daripada sepakan sudut di mana Tottenham rasakan ia tidak sepatutnya diberikan kepada pihak lawan.

Tottenham kemudian menyamakan kedudukan menerusi penyerang Harry Kane yang memanfaatkan kesilapan pemain Burnley begitupun, mereka terpaksa membayar harga mahal susulan kerapuhan barisan pertahanan apabila tuan rumah meledak gol kemenangan tujuh minit sebelum aksi berakhir.

Ia kekalahan yang cukup pahit buat Totteham yang akan dijarakkan dengan lapan mata dengan pasukan tangga kedua, Liverpool jika menang ke atas Manchester United, malam ini.

Pochettino jelas berada dalam keadaan marah sepanjang masa malah melakukan konfrontasi terhadap Dean dan pembantunya di atas padang sebagai meluahkan kekecewaannya.

Rakan televisyen turut memperlihatkan Pochettino dan pembantunya, Jesus Perez berkata sesuatu kepada Dean dan protesnya berterusan sehingga ke terowong stadium.

Begitupun, Pochettino enggan mengulas tindakannya itu sebaliknya mengakui kelemahan karektor pasukannya yang disebabkan tekanan daripada pemburuan kejuaraan sebagai punca.

“Jika kami tidak menang, kami kini tidak memikirkan yang kami adalah pencabar sebenar. Ia satu peluang besar yang disia-siakan oleh kami,” kata Pochettino.

“Apabila kamu merasa amat kecewa dan sedih, kamu akan melakukan kesilapan. Kami melakukan kesilapan di atas padang dan saya melakukan beberapa kesilapan di atas padang selepas itu.”

Insiden berkenaan jelas akan berada dalam laporan pengadil yang menyaksikan pengurus kelahiran Argentina itu mungkin berdepan hukuman penggantungan.

“Ada banyak wayar yang berselirat di kepala saya. Ia pelik dan aneh dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini selama 10 tahun,” kata Pochettino.

“Beberapa perkara bodoh boleh berlaku dan kamu bertindak balas. Saya tidak pernah hilang kawalan tetapi kini saya perlu mendapat keputusan.” - AFP

 

 

Berita Harian X