Sabtu, 23 Februari 2019 | 1:02am
JURGEN Klopp percaya Ole Gunnar Solskjaer akan dilantik sebagai pengurus kekal Manchester United.

Klopp percaya Solskjaer bakal pengurus United

LONDON: Bos Liverpool, Jurgen Klopp percaya Ole Gunnar Solskjaer akan dilantik sebagai pengurus kekal Manchester United penghujung musim ini.

Klopp menyatakan demikian menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Old Trafford malam esok.

Solskjaer setakat ini sudah memenangi 11 daripada 13 perlawanan sejak mengambil alih tugasan dariapada Jose Mourinho yang dipecat Disember lalu dan hanya kalah 2-0 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Menjelang kunjungan Liverpool ke Old Trafford itu, Klopp mengakui kagum dengan sentuhan hebat pengurus Norway itu yang serba menjadi sejak berada di Old Trafford.

"Dia benar-benar memiliki kualiti dan mendapat tuah tepat pada masanya, sudah pasti dia akan dilantik sebagai pengurus kekal tahun hadapan,” kata Klopp.

"Bolehkah anda bayangkan satu situasi apabila mereka berkata ‘kami akan melantik pengurus baru’? Kemudian pengurus itu kalah satu perlawanan, itu tidak mungkin berlaku.

"Dia berhak (jawatan itu) 100 peratus, dia melakukan segala-galanya yang patut anda lakukan untuk mencapai kejayaan.”

Klopp, yang kini menyaksikan anak buahnya berkongsi mata dengan pendahulu liga, Manchester City, juga mengakui semua pengurus memerlukan elemen tuah untuk berjaya.

"Apabila saya meninggalkan Mainz untuk menyertai (Borussia) Dortmund, banyak pihak mendakwa saya tiada pengalaman. Ia memang benar tetapi ia bukan sesuatu yang boleh dibeli. Ia perlu diusahakan.

"Jika Ole bukan bekas pemain Manchester United sudah tentu dia tidak akan sanggup meninggalkan Norway menuju ke Manchester United. Itu sudah pasti. Tetapi jika kamu dapat peluang, maka gunakan sebaiknya. Dia berjaya menyatukan pasukan. Mereka sama-sama membuat keputusan yang bijak.”

Boss Liverpool itu juga mendakwa barisan United yang pernah ditundukkan pasti tampil dengan gaya berbeza pada pertemuan Ahad ini.

"Ia pasti perlawanan sengit dan juga sukar,” kata Klopp sambil menambah bahawa barisan penyerang United kini tampak sangat yakin terutama Paul Pogba yang begitu menyerlah sejak minggu kebelakangan ini.

"Mereka memang berada dalam detik terbaik. Mereka sangat kuat, pertahanan juga kuat dan serangan juga amat bagus. Pendekatan mereka sudah berbeza sama sekali untuk meraih kemenangan,” katanya . – AFP

Berita Harian X