Khamis, 21 Februari 2019 | 6:05pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (KFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit mahu berjumpa Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Owee Ah Chun.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perlis (KFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit mahu berjumpa Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Owee Ah Chun.

'Saya belum mengalah, mahu jumpa TMJ'

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie masih belum mahu mengibar 'bendera putih' dan berhasrat untuk bertemu dengan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan hal sebenar.

Amizal mengakui beliau masih terkejut dengan pembatalan Perlis daripada Liga Malaysia (Liga M) dan berharap pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor itu dapat memberi sinar buat skuad Singa Utara membuat kemunculan kembali di Liga Perdana musim ini.

Secara tidak langsung, pertemuan itu dirasakan adalah jalan lebih baik bagi memberikan gambaran sebenar yang berlaku serta perancangan sebenar Perlis.

"Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (pembatalan Perlis dari Liga M) kerana kita sebenarnya telah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Perdana musim ini kepada MFL.

"Perlis sudah memberikan komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat apa seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaannya dari Liga Malaysia tahun lalu.

"Saya telah menghantar rayuan kepada MFL tetapi pada masa sama, saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini," katanya.

MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga M berkuatkuasa semalam.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Perlis dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA 

Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Perlis dapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Perdana selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC.

Berita Harian X