Khamis, 21 Februari 2019 | 3:27pm
BEKAS pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari. - NSTP/Imran Makhzan
BEKAS pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari. - NSTP/Imran Makhzan

TCFC sedia ganti Perlis 

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain Terengganu City FC (TCFC), Shafuan Adli Shaari merayu belas ihsan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan 'talian hayat’ kedua kepada skuadnya untuk menyertai saingan Liga Perdana musim ini.

Shafuan yang mewakili rakan sepasukannya berkata, dia sudah berbincang dengan pihak pengurusan baharu skuad The Sharks itu sebaik mengetahui pasukan Perlis digugurkan daripada beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini berkuat kuasa serta merta semalam.

“Hasil perbincangan itu, kami sebulat suara bersetuju untuk menyertai Liga Perdana musim ini bagi menggantikan skuad Singa Utara jika MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menerima kami.

“Kami dan pihak pengurusan TCFC serius dalam hal ini dan bukannya bercakap kosong, kami pun sudah ada sebahagian pemain, lagipun tempoh lanjutan buat pemain Perlis sudah dilanjutkan 30 hari lagi.

“Kami tetap sedia beraksi walaupun sudah berlalu tiga perlawanan, sekarang FAM dah gugurkan Perlis, harap menerima TCFC beraksi dalam Liga Perdana bagi menggantikan slot pasukan itu, tidak ada masalah buat kami, harap FAM dan MFL dengar dan menerima kami menyertai liga itu atas belas ihsan.

“Kami bersedia bertemu dengan pihak MFL dan FAM bagi perbincangan lebih lanjut berhubung perkara itu demi kelangsungan hidup dan sumber pendapatan kami sebagai pemain,” ujar Shafuan.  

Pada 19 November 2018, juara Piala FAM musim lalu itu terpaksa berputih mata untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini selepas 'diharamkan’ oleh MFL walaupun mendapat tiket automatik susulan kedegilan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Bagaimanapun bulan lalu, pengurusan baharu skuad TCFC berjanji sedia menjelaskan semua tunggakan gaji pemain dan jurulatih pasukan itu berjumlah lebih RM900,000 tetapi dengan syarat FAM dan MFL membenarkan pasukan itu beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Namun, permintaan itu tidak dilayan FAM dan MFL sekali gus bukan saja menyebabkan pemain `gigit jari’ tidak dapat beraksi dalam saingan liga divisyen dua itu malah sehingga kini masih belum menerima tunggakan gaji mereka.

TCFC meraih kejuaraan Piala FAM selepas menundukkan Selangor United 2-0 pada final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada September tahun lalu.

Berita Harian X