Rabu, 20 Februari 2019 | 11:36am
SAFEE Sali hadir menjalani latihan bersama pasukan Petaling Jaya City FC di Padang Latihan USIM. - Foto Adzlan Sidek

'Nyawa kedua' Safee di PJ City

 

NILAI: Ibarat burung yang terbang bebas di udara!

Ungkapan itu paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan karier profesional Safee Sali yang kini sah pemain Petaling Jaya City selepas nekad meninggalkan skuad Liga Perdana Perlis ekoran tidak menerima gaji untuk tempoh dua bulan.

Bagi Safee, penyertaanya bersama PJ City dilihat 'nyawa kedua' dalam karier profesionalnya dan kini tumpuannya hanya satu iaitu kepada prestasi atas padang tanpa dibelenggu janji tidak kesudahan.

"Apa yang berlaku sebenarnya ada pro dan kontra dan mungkin ini satu peluang dan ruang kepada saya. Sekarang saya mahu fokus dengan kelab baharu dan ingin lupakannya (masalah di Perlis) secepat mungkin.

"Jadi selepas ini saya harap dapat beraksi dengan lebih tenang. Saya mahu beri fokus sebagai pemain bola sepak dan yang lebih utama saya akan memikirkan soal prestasi atas padang," katanya ketika ditemui ketika berlatih buat kali pertama bersama PJ City di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam.

Kemunculan Safee itu jelas tepat pada masanya ketika PJ City mahu tampil selaku pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim ini apabila jendela perdaftaran pemain akan ditutup tengah malam ini.

Bagaimanapun, Safee enggan mendedahkan tempoh kontrak ditandatangani dan menyerahkan kepada pengurusan kelab untuk membuat pengumuman, hari ini.

Dalam masa yang sama, Safee sentiasa mendoakan yang terbaik kepada bekas rakan sepasukannya di Perlis.

"Saya doakan mereka berjaya dalam saingan Liga Perdana. Saya sudah tiada lagi (bersama Perlis) dan saya hanya mampu doakan mereka terus berjaya," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X