Selasa, 19 Februari 2019 | 12:56pm
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola. - Foto Reuters

Guardiola selesa buru empat trofi

MANCHESTER: Tumpuan Manchester City kini beralih dari Newport di selatan Wales ke Schalke, Jerman untuk aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara, sebelum bertemu Chelsea di Wembley pada Ahad untuk merebut trofi pertama musim ini dalam saingan Piala Liga.

Sedekad di bawah pemilik dari Abu Dhabi, kepentingan City menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama menjadikannya lebih mudah buat kelab kendalian Pep Guardiola itu untuk meletakkan saingan Eropah sebagai keutamaan.

Bagaimanapun selepas menjuarai liga musim lalu dengan jumlah mata tertinggi, 100, ia satu lagi catatan sejarah yang menanti City – dengan mengatasi kejayaan treble Manchester United yang memenangi liga, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim 1998/99.

Dua minggu selepas membelasah Chelsea 6-0, City diletakkan sebagai pilihan untuk mempertahankan trofi Piala Liga hujung minggu ini dan dijangka mudah mengatasi Schalke yang kini menghuni tangga ke-14 Bundesliga, seterus mara ke suku akhir kejuaraan Eropah itu.

Kemenangan 4-1 di Newport turut melayakkan City ke kelompok lapan terakhir Piala FA dan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, anak buah Guardiola mendahului carta berdasarkan perbezaan jaringan, walaupun Liverpool bermain kurang satu perlawanan.

“Lebih baik berada dalam situasi begini,” kata Guardiola berkenaan pemburuan empat trofi berbanding memberi tumpuan kepada hanya Liga Juara-Juara dan Liga Perdana seperti yang mampu dilakukan Liverpool kendalian Jurgen Klopp selepas tersingkir daripada dua kejohanan domestik.

“Penting untuk berada dalam keadaan ini pada Februari, dalam empat pertandingan. Kini kami ke pentas paling besar, Liga Juara-Juara, dan kita akan lihat apa yang berlaku pada Mei dan Jun.” - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X