Sabtu, 16 Februari 2019 | 7:09pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (tengah) sahkan pihaknya berjaya menyerahkan dokumen kepada badan pengendali liga itu sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka untuk menyelesaikan masalah membelenggu pasukan itu sejak musim lalu. - NSTP/Azhar Ramli
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (tengah) sahkan pihaknya berjaya menyerahkan dokumen kepada badan pengendali liga itu sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka untuk menyelesaikan masalah membelenggu pasukan itu sejak musim lalu. - NSTP/Azhar Ramli

PFA sudah hantar dokumen kewangan

 

KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak mengganggap Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai pasukan yang gagal menghantar dokumen kewangan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), namun PFA membuktikan sebaliknya.

Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Shafie mengesahkan pihaknya berjaya menyerahkan dokumen kepada badan pengendali liga itu sekali gus membuktikan komitmen dan kesungguhan mereka untuk menyelesaikan masalah membelenggu pasukan itu sejak musim lalu.

“MFL sudah mengesahkan bahawa Perlis adalah satu daripada lima pasukan yang menghantar dokumen kepada mereka seperti yang diarahkan sebelum ini.

“Jadi, secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa kita benar benar bersungguh untuk menangani masalah yang ada dan kita tidak lari daripada tanggungjawab.

“Kita memang serius untuk membawa Perlis beraksi dalam Liga Perdana,” katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai status kewangan terkini pasukan itu, Ahmad Amizal menjelaskan rundingan dengan beberapa penaja menunjukkan perkembangan positif.

“Kita sudah ada beberapa penaja yang setuju untuk bantu kita dan kita akan cuba buat yang terbaik. Kita memerlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan tunggakan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, dua pasukan Liga Perdana dipercayai gagal menyerahkan dokumen kewangan seperti diarahkan badan pengendali liga itu pada tarikh akhir, semalam.

Situasi itu jelas menimbulkan persoalan selepas MFL mengesahkan hanya lima daripada tujuh pasukan berdepan tunggakan gaji berbuat demikian.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd enggan mendedahkan nama tujuh pasukan terbabit sambil menjelaskan tindakan lanjut ke atas pasukan terbabit akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Berita Harian X