Jumaat, 15 Februari 2019 | 11:25am
SADDIL Ramdani. - Foto ihsan Pahang FA
SADDIL Ramdani. - Foto ihsan Pahang FA

Tok Gajah enggan lepaskan Saddil ke Kemboja

KUANTAN: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) enggan melepaskan penyerang import skuad Tok Gajah, Saddil Ramdani untuk mewakili skuad Indonesia yang akan bersaing pada kejohanan Piala B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Kemboja, minggu hadapan.

Menurut sumber, surat permohonan daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk mendapatkan khidmat penyerang muda itu diterima PBNP minggu lalu, memaklumkan mereka mahu menggunakan khidmat pemain berkenaan sepanjang kejohanan terbabit.

Katanya, sebagai majikan, PBNP tidak dapat menunaikan hajat PSSI mendapatkan khidmat Saddil yang kini menjadi tunjang skuad Tok Gajah dalam saingan Liga Super musim ini.

"Tidak mungkin kita dapat melepaskan dia terutama ketika prestasi pemain berkenaan berada di kemuncak. Esok, skuad Tok Gajah bertandang ke Melaka bertemu pasukan Hang Tuah. Kita pasti akan terus menurunkan Saddil dalam usaha memburu kemenangan ketiga berturut-turut," katanya, di sini, hari ini.

Menurut sumber Sukan BH itu juga, PBNP memohon maaf kepada PSSI kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang begitu berhajat mendapatkan khidmat bekas penyerang kelab Persela Lamongan itu.

Katanya, pegawai PSSI dan peminat bola sepak Indonesia diharap dapat memahami situasi semasa dan tidak bertindak membuat pelbagai tuduhan sumbang hingga mengeruhkan keadaan.

"Saddil kini menjadi antara tonggak skuad Tok Gajah musim ini. Prestasi yang dipamerkan pada dua perlawanan sebelum ini dengan menyumbangkan satu gol membuatkan kami meletakkan harapan lebih tinggi padanya.

"Saya lihat dia (Saddil) dapat menerima keputusan yang dibuat PBNP. Kita berharap keputusan ini tidak menjejaskan tumpuannya pada perlawanan menentanag Melaka

United," katanya.

Berita Harian X