Rabu, 13 Februari 2019 | 11:43am
INSIDEN balingan botol air tak jejaskan Di Maria ketika membantu PSG menewaskan bekas kelab lamanya, Manchester United di Stadium Old Trafford. - Foto Reuters
INSIDEN balingan botol air tak jejaskan Di Maria ketika membantu PSG menewaskan bekas kelab lamanya, Manchester United di Stadium Old Trafford. - Foto Reuters

'Botol terbang' iringi kepulangan Di Maria

MANCHESTER: Dia teruk diejek oleh penyokong Manchester United, malah botol minuman turut dibaling kepadanya - namun Angel Di Maria harus tertawakan mereka dalam kepulangannya semula sambil membantu kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) di Old Trafford pagi tadi.

Pemain sayap PSG itu kurang popular di kalangan peminat United selepas mengharungi musim yang mengecewakan di kelab berkenaan.

Namun, pagi tadi dia menjadi watak pemusnah United dengan membuat dua umpanan gol tatkala juara Perancis itu memenangi pertemuan 16 terakhir pertama Liga Juara-Juara itu dengan keputusan 2-0.

Aksi di Old Trafford tidak bermula dengan baik, Di Maria lambat panas sehingga menyebabkan Kylian Mbappe turut tenggelam selepas PSG turun tanpa Edinson Cavani dan Neymar.

Malah, dia juga mengalami kecederaan apabila menjadi mangsa tindakan ganas kapten United, Ashley Young di hujung babak pertama yang menyaksikan Di Maria melambung ke tepi garisan hingga terkena penghadang.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Argentina masih boleh meneruskan permainan selepas dirawat, namun pengendali PSG, Thomas Tuchel berang dengan situasi itu.

"(Young) amat bernasib baik," kata Tuchel. "Dia tahu di tepi padang itu permukaannya sedikit rendah. Tidak perlu untuk dia menolak Di Maria hingga begitu teruk. Nasib baik dia tidak mengalami kecederaan."

Di Maria turut terlepas beberapa peluang apabila percubaannya banyak tepat ke arah penjaga gol United, David de Gea selain berada dalam kedudukan ofsaid.

"Dia mengharungi babak pertama yang sukar," kata Tuchel. "Dia nyata seorang pejuang. Jika anda melakukan provokasi kepadanya, ia tidak akan melemahkannya.

"Saya fikir dia mempunyai hubungan yang baik dengan penyokong. Dia sedikit gementar dan perlu ditenangkan sewaktu di dalam bilik persalinan."

Hasil daripada motivasi berkenaan, Di Maria kemudiannya mula membawa impak besar di separuh masa kedua, apabila membuat dua umpanan, yang pertama menerusi sepakan penjuru yang disudahkan Presnel Kimpembe.

Seminit kemudian, dia sekali lagi mengambil sepakan penjuru dan ketika bersiap sedia botol minuman dibaling ke arahnya, namun dia menjadikan situasi itu lebih lucu apabila bertindak sengaja seperti mahu memungut botol terbabit.

Tidak cukup dengan itu, penyokong United membaling lagi satu botol minuman ke arahnya sebelum Di Maria melencongkan bola sepakan penjuru untuk disempurnakan oleh Kylian Mbappe dalam kawasan kotak penalti. – AFP

Berita Harian X