Selasa, 12 Februari 2019 | 8:20am
AARON Ramsey. - Foto Reuters
AARON Ramsey. - Foto Reuters

Ramsey sah pindah ke Juventus

MILAN: Perancang tengah Arsenal, Aaron Ramsey menandatangani perjanjian kontrak selama empat tahun untuk menyertai Juventus secara percuma pada Julai depan, umum juara Itali itu pagi tadi.

Pemain antarabangsa Wales berusia 28 tahun itu akan tiba di utara Itali pada 1 Julai dengan ikatan kontrak hingga 30 Jun 2023.

Arsenal tidak berhak mendapat sebarang bayaran yuran perpindahan tatkala kontrak Ramsey akan tamat pada hujung kempen ini.

"Ekoran untuk mendaftarkannya sebagai pemain, Juventus akan menanggung kos tambahan sebanyak 3.7 juta euro, yang akan dibayar pada 10 Julai," kata kelab gergasi Itali itu.

Perpindahan itu menamatkan tempoh 11 tahun Ramsey bersama The Gunners selepas berhijrah daripada Cardiff pada 2008.

Sepanjang tempoh terbabit, dia membuat 256 penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris, menyumbat 38 gol dan memenangi tiga gelaran Piala FA serta dua Perisai Komuniti.

"Saya ingin mengeluarkan kenyataan peribadi kepada penyokong Arsenal yang sangat setia dan sering memberi sokongan," tulis Ramsey dalam ciapan Instagram miliknya.

"Anda menyambut ketibaan saya ketika muda dan sentiasa bersama saya sepanjang tempoh naik turun bersama dengan kelab ini.

"Dengan hati yang berat saya akan meninggalkan kelab ini selepas 11 tahun menakjubkan di utara London. Terima kasih."

Ramsey pernah membuat 58 kemunculan untuk Wales selain meledak 14 gol dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang mara ke pentas separuh akhir Euro 2016.

Dia akan menjadi pemain ketiga dari Wales menyarung jersi Juventus mengikuti jejak langkah legenda kelab John Charles dan bekas pemenang kasut emas Eropah, Ian Rush. - AFP

Berita Harian X