Sabtu, 9 Februari 2019 | 10:26am
PEMAIN Manchester City selepas aksi perlawanan menentang Everton, baru-baru ini. - Foto AFP

Peluang City untuk terus kecewakan Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

KEJAYAAN menewaskan Everton, 2-0 pada pertengahan minggu, ternyata berjaya membuka laluan kepada Manchester City untuk terus menyalakan harapan mempertahankan kejuaraan liga pada musim ini.

Selepas terus ketinggalan selama beberapa minggu sehingga kelihatan tidak berupaya memintas Liverpool, skuad bimbingan Pep Guardiola membuktikan tiada yang mustahil apabila kembali merampas kedudukan pendahulu minggu ini.

The Citizens gah menggungguli carta hasil kejayaan menghimpunkan 62 mata selepas 24 perlawanan, menyingkirkan The Reds ke tempat kedua menerusi jumlah perbezaan jaringan ketika kedua-duanya terikat jumlah mata sama.


PEP Guardiola. - Foto EPA

Mampukah Guardiola terus mengikat kedudukan pendahulu ketika saingan buat pasukannya hanya berbaki 12 perlawanan, berbanding 13 bagi skuad bimbingan Jurgen Klopp itu? Inilah yang menarik untuk kita nantikan sehingga ke penghujung musim.

Minggu ini halangan pertama menanti City adalah Chelsea yang bakal berkunjung ke Etihad, tepat jam 12 tengah malam esok waktu Malaysia. Hanya kemenangan jadi sasaran Guardiola ketika Liverpool memiliki kelebihan untuk kembali merampas kedudukan lebih awal.

The Reds akan beraksi 24 jam lebih awal apabila menerima kunjungan Bournemouth di Anfield. Melihat kepada prestasi semasa lawannya itu, kelihatannya The Reds memiliki kelebihan untuk mengutip mata penuh.

Namun seandainya aksi yang dipamer ketika diikat 1-1 West Ham pada pertengahan minggu tidak berubah, peluang untuk lawannya mencipta kejutan malam ini mampu dilakukan. Ini perlu diambil perhatian oleh Klopp yang sebelum itu kecewa anak buahnya turut terikat 1-1 dengan Leicester City.

Sekiranya, The Reds menang ia akan kembali di depan dan pastinya Klopp tidak akan sanggup melepaskan lagi kedudukan itu. Sebagai rekod, Liverpool berjaya menduduki tangga teratas liga selepas sambutan Krismas lalu sekali gus menjadi pilihan menjadi juara musim ini.


JURGEN Klopp. - Foto AFP

Ini adalah musim ke-30 buat The Reds memburu kejuaraan pertama liga.

Dalam pada itu, Chelsea pula bermotivasi meleburkan impian City tengah malam esok kerana The Blues juga mahu menang bagi menghidupkan peluang kekal dalam empat teratas liga. Ketika ini pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu menduduki tangga ke-4 dengan himpunan 50 mata.

Bagaimanapun mereka berdepan tersingkir ke tangga kelima sekiranya gagal mengutip mata, berikutan pesaing terdekat, Manchester United hanya ketinggalan dua mata. Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu dilihat memiliki kelebihan untuk mengatasi Fulham di Craven Cottage, malam ini.


OLE Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho penghujung tahun lalu, memburu kemenangan ke-11 bagi semua perlawanan untuk menghidupkan peluang muncul empat pasukan teratas liga musim ini. Pertengahan minggu United mengatasi Liecester 1-0.

Sementara itu, Spurs akan menanti kunjungan Leicester malam ini dan dijangka tiada masalah mengutip mata penuh meskipun tanpa khidmat Harry Kane untuk terus mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga.

Arsenal yang menduduki tangga keenam liga juga harus tiada masalah mengenepikan Huddersfield di laman lawannya itu untuk terus memburu tempat empat terbaik liga di penghujung musim. Selamat menonton.

Penulis adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu Ini

Fulham 1 Manchester United 2

Crystal Palace 2 West Ham 2

Huddersfield 1 Arsenal 1

Liverpool 3 Bournemouth 1

Southampton 1 Cardiff 1

Watford 1 Everton 1

Brighton 1 Burnley 1

Tottenham 2 Leicester 2

Manchester City 2 Chelsea 1

Wolves 1 Newcastle 1

Berita Harian X