Khamis, 7 Februari 2019 | 2:26pm
Safee Sali.
Safee Sali.

Safee harap PFA guna peluang

KUALA LUMPUR: Sekalipun dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Perlis, kaptennya Safee Sali masih mengharapkan supaya segala masalah yang membelenggu pasukan itu terutamanya isu tunggakan gaji dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Justeru, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang diterajui Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie seharusnya mengambil peluang yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk meletakkan skuad Singa utara itu pada landasan yang betul.

Katanya, amat merugikan sekiranya pengurusan tidak mengambil peluang terbabit untuk membangunkan semula Perlis yang dilihat memiliki kelompok penyokong yang ramai.

“Saya menghargai atas usaha dan komitmen pihak pengurusan yang mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pasukan kerana ini sememangnya tanggungjawab mereka.

“Dengan apa yang menimpa pasukan ketika ini, ia adalah berdasarkan perancangan pasukan dan bukan kesilapan pihak lain. Skuad Singa Utara sudah diberikan peluang untuk bangkit musim ini, jadi PFA sepatutnya menggunakan peluang ini dengan baik.

“Tiada siapa yang menjangkakan keadaan menjadi seperti ini apabila permulaan atau penubuhan semula pasukan ini dilihat begitu baik sekali oleh pihak pengurusan baru," katanya.

Sebelum ini FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Perdana berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

Meskipun memiliki tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, Perlis masih dibenarkan bertanding dalam Liga Perdana musim ini dengan persetujuan hutang berkenaan akan dibayar menggunakan geran tahunan andai tidak dapat dilangsaikan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh 28 Disember lalu.

Namun apa yang membimbangkan apabila berlakunya tunggakan gaji pemain bagi musim baru ini termasuk Safee sendiri.

“Kalau ikut perancangan semua nampak baik, kita tidak tahu boleh jadi seperti ini. Apa pun kita tidak boleh menyalahkan pihak luar termasuk MFL sendiri kerana ini adalah tanggungjawab pasukan.

"Mereka seharusnya menggunakan peluang yang diberikan dengan baik,” katanya.

Berita Harian X