Ahad, 3 Februari 2019 | 8:39pm

KRW mula 'Ops Bersih'

KUALA LUMPUR: Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd yang menjalinkan usahasama dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) akan memulakan proses 'pembersihan' pasukan membabitkan masalah-masalah yang melanda pasukan termasuk isu tunggakan gaji.

Sambil menjadikan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai rujukan, KRW yang akan menguruskan skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan mahu memastikan ketiga-tiga pasukan itu bebas daripada sebarang isu terutama pembayaran gaji.

Ketua Pegawai Eksekutif KRW, Fazli Mohammad berkata selain daripada menguruskan soal pembayaran gaji pemain sedia ada mengikut jadual, pihaknya juga sedang dalam proses untuk melangsaikan hutang lama.

"Semua itu akan diambil alih oleh KRW Sdn Bhd. Semua sedia maklum ia bukan jumlah yang sedikit namun ia sudah mula dilangsaikan secara berperingkat,” kata Fazli.

“Ia (hutang) membabitkan zaman Tan Sri Annuar Musa hingga tahun 2018 namun bagi saya hutang Kelantan tidak begitu serius dan masih boleh diuruskan. 

"Saya jadikan JDT sebagai tanda aras kerana mereka buat secara profesional dan paling penting adalah soal gaji. Insya-Allah dalam bulan ini kita dapat selesaikan dan mahu menjadikan pengurusan 100 peratus profesional.

"Saya bekerja... semua orang bekerja dan pastinya gaji itu cukup penting. Kalau kita ada tunggakan gaji bagaimana pemain mahu bermain dengan baik."

KRW Sdn Bhd dan KAFA menjalin kerjasama pada 14 Januari lalu dan syarikat itu akan menguruskan ketiga-tiga pasukan skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia Kelantan manakala badan induk itu akan menumpukan aspek pembangunan.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi masa sehingga pertengahan bulan ini kepada semua pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji untuk melangsaikan bayaran bagi mengelak geran tahunan disekat.

"KRW tidak akan ambil geran itu sebaliknya ia diberikan kepada KAFA untuk pembangunan di peringkat bawah, membabitkan usia 12 tahun, 14 tahun serta pertandingan liga tempatan di Kelantan," katanya.

Berita Harian X