Ahad, 27 Januari 2019 | 8:30am
PEMAIN AC Milan, Krzysztof Piatek bersama pemain Napoli Arkadiusz Milik selepas aksi Serie A Itali awal pagi tadi. - Reuters
PEMAIN AC Milan, Krzysztof Piatek bersama pemain Napoli Arkadiusz Milik selepas aksi Serie A Itali awal pagi tadi. - Reuters

Napoli, Milan kongsi mata

MILAN: Napoli kendalian Carlo Ancelotti sekadar seri tanpa jaringan dengan AC Milan pada aksi Serie A Itali awal pagi tadi yang menyaksikan aspek keselamatan diperketatkan.

Pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly kembali daripada penggantungan dua perlawanan yang diterimanya sebulan lalu selepas menjadi sasaran ejekan berbaur perkauman oleh penyokong Inter Milan di Stadium San Siro.

Anggota polis anti rusuhan berkawal di San Siro sebagai sebahagian langkah memperketatkan kawalan, namun perlawanan berlangsung dengan baik tanpa sebarang insiden.

Pemain Napoli, Lorenzo Insigne juga kembali daripada penggantungan sekali gus bergandingan dengan tiga penyerang Dries Mertens, Arkadiusz Milik dan Jose Callejon.

“Ia suasana yang amat berbeza dan inilah yang saya mahu lihat dari sudut penyokong,” kata Ancelotti.

Menteri Dalam Negeri Itali, Matteo Salvini berkata, ia satu keputusan tepat tidak mengehadkan jualan tiket atau akses ke stadium.

“Kami gembira dengan suasana aman di luar dan dalam stadium,” kata Salvini yang juga penyokong utama AC Milan.

Ketua jurulatih Milan, Gennaro Gattuso tetap berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya meskipun sekadar mengutip satu mata.

“Napoli lawan yang sering memberi tentangan sengit dan mempunyai kekuatan di bahagian serangan.

“Kami mula bangkit pada separuh masa kedua. Apa pun saya tetap gembira dengan keputusan ini,” katanya. - AFP

Berita Harian X