Rabu, 16 Januari 2019 | 7:23pm
GAMBAR fail, Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, Mustaza Ahmad bagi cabutan posisi menerusi majlis undian pusingan pertama dan kedua Piala FA 2018. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
GAMBAR fail, Ahli Lembaga Pengarah FMLLP, Mustaza Ahmad bagi cabutan posisi menerusi majlis undian pusingan pertama dan kedua Piala FA 2018. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Isu gaji Perlis: MFL sudah bertindak awal

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah mengambil tindakan awal dalam usaha menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain Perlis seperti yang dilaporkan hari ini.

Masalah tunggakan gaji itu sudah termasuk dalam perjanjian Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dengan MFL yang dipersetujui pada 28 Disember lalu yang mana pasukan dari utara itu diberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan bayaran.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad menjelaskan PFA diberikan tempoh masa untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan MFL sudah mengumumkan akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan hutang itu.

“Tuntutan pemain Perlis itu sebenarnya sudah ada dalam perjanjian bersama antara MFL dan PFA, ini bukan tuntutan baharu. Kami sudah mencari jalan untuk mengatasi masalah itu.

“PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia musim 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“PFA masih memiliki tempoh masa untuk menyelesaikan masalah itu dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.”

Sukan NSTP hari ini melaporkan sebahagian 18 pemain Perlis yang beraksi dalam saingan Piala FAM musim lalu mendakwa tidak menerima tunggakan gaji seperti dijanjikan PFA hingga mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain seperti nelayan untuk menyara hidup.

Susulan pendedahan kumpulan pemain itu, isu pemilihan Perlis yang dinaikkan ke Liga Perdana kembali dibangkitkan.

Namun Mustaza berkata, kelulusan itu diambil berdasarkan komitmen dan perancangan pengurusan baharu PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan memantapkan kewangan pasukan musim ini.

“Kami tahu ada pihak yang masih mempertikaikan status Perlis sebagai pasukan Liga Perdana, tapi kami benarkan penyertaan mereka berdasarkan kriteria tertentu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Perdana berdasarkan dokumen perancangan pasukan termasuk aspek kewangan.

“Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

“Jadi Perlis dipilih kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka sedikit,” katanya.

Berita Harian X