Jumaat, 4 Januari 2019 | 7:19am
REAKSI pemain Manchester City, Vincent Kompany selepas mengasak pemain Liverpool, Mohamed Salah pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, pagi tadi. - Foto Reuters

Kompany patut dapat kad merah – Klopp

MANCHESTER, United Kingdom: Jurgen Klopp mendakwa Vincent Kompany sepatutnya dibuang padang kerana aksi kasar terhadap Mohamed Salah, ketika usaha Liverpool mengejar gelaran Liga Perdana tergendala selepas tewas 1-2 di tangan Manchester City, pagi tadi.

Bos Reds itu berang apabila kapten City, Kompany terlepas dengan hanya dilayangkan kad kuning daripada pengadil, Anthony Taylor selepas terjahan dua kaki terhadap Salah pada babak pertama di Stadium Etihad.

Penyerang Mesir itu masih dapat beraksi selepas itu, tetapi Klopp menegaskan ia hanya nasib kerana Kompany boleh menamatkan musim tonggak Liverpool melalui terjahanan seperti itu.

Bagi Klopp, keputusan tidak menghukum Kompany itu adalah tindakan cukup besar ketika City meraih mata penuh, hasil jaringan lewat Leroy Sane, selepas Roberto Firmino menyamakan jaringan awal Sergio Aguero.

“Saya memang sukakan Vincent Kompany, namun bagaimana ia bukan kad merah? Dia pemain terakhir dan dia melakukannya (terjahan),” kata Klopp.

“Jika terjahan (ke atas) Mo itu lebih kuat, dia akan terkeluar sepanjang musim.”

Tidak mengejutkan apabila Kompany tidak bersetuju dengan dakwaan Klopp dan menegaskan dia melakukan terjahan bersih.

“Saya rasa ia cabaran yang hebat, benarkah? Saya mendapat bola, sedikit terkena pemain, tetapi ia bukan kasar,” kata Kompany, yang meminta Salah bangun selepas kejadian itu.

“Saya bukan cuba mencederakannya. Ia perlu dilakukan atau membiarkan dia menjaringkan gol.” - AFP

Berita Harian X