KUALA LUMPUR: Kalendar bola sepak 2019 nyata akan lebih berseri selepas Pestabola Merdeka yang ‘hilang’ selama lima tahun akhirnya membuat kemunculan semula tahun ini.
Memegang status sebagai antara kejohanan tertua di benua Asia, mengatasi Piala Raja Thailand dan Piala Korea Selatan, Pestabola Merdeka adalah kejohanan jemputan yang mula membuka tirainya pada 1957.
Kejohanan berprestij itu diadakan bertujuan meraikan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia dan meskipun dijadikan acara tahunan, ia pernah tidak dilangsungkan untuk beberapa edisi atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Kejohanan terbabit mencapai detik gemilangnya pada era 1960-an hingga 1980-an apabila disertai gergasi bola sepak Asia seperti Korea Selatan dan Jepun yang menghantar pasukan utama mereka sebelum mula disertai pasukan dari benua lain seperti Eropah dan Amerika Latin.
Edisi pertama Pestabola Merdeka diadakan pada Ogos dan September 1957 yang menyaksikan Pilihan Liga Hong Kong menjuarai kejuaraan sulung itu.
Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan taring sebagai tuan rumah apabila menjuarai 10 edisi termasuk dua yang dimenangi skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) diikuti Korea Selatan, Myanmar dan Indonesia.
Malah, Pestabola Merdeka turut bersifat 'universal' yang menyaksikan ia dirangkul pasukan dari luar benua Asia seperti Pilihan Buenos Aires, Pasukan Olimpik Czechoslovakia, Hamburger SV dan SK Admira Wacker.
Sementara itu, bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Santokh Singh menegaskan saingan itu tetap relevan meskipun saingan itu sudah berusia lebih 60 tahun.
"Pestabola Merdeka ini ada prestij yang tersendiri dan cadangan yang bagus untuk menghidupkan semula saingan Pestabola Merdeka selepas tidak dilangsungkan selama lima tahun.
"Apa yang saya harapkan daripada penganjuran kali ini adalah semua pasukan termasuk Malaysia dapat menghantar pasukan terbaik seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
"Saya yakin edisi kali ini akan mendapat sambutan yang hangat penyokong kerana mereka sudah tentu tidak sabar untuk menantikan pasukan negara beraksi," katanya.
Senarai juara Pestabola Merdeka
1957 Pilihan Liga Hong Kong
1958 Malaya
1959 Malaya
1960 Malaya dan Korea Selatan (juara bersama)
1961 Indonesia
1962 Indonesia
1963 Taiwan
1964 Burma
1965 Korea Selatan dan Taiwan (juara bersama)
1966 Vietnam Selatan
1967 Yangzee FC dan Myanmar ((juara bersama)
1968 Malaysia
1969 Indonesia
1970 Korea Selatan
1971 Myanmar
1972 Korea Selatan
1973 Malaysia
1974 Malaysia
1975 Korea Selatan
1976 Malaysia
1977 Korea Selatan
1978 Korea Selatan
1979 Korea Selatan B dan Malaysia (juara bersama)
1980 Maghribi
1981 Iraq
1982 Pilihan Santa Catarina
1983 Pilihan Buenos Aires
1984 Korea Selatan B
1985 Korea Selatan B
1986 Malaysia
1987 Pasukan Olimpik Czechoslovakia
1988 Hamburger SV (Jerman Barat)
1989–90 Tidak dianjurkan
1991 SK Admira Wacker
1992 Tidak dianjurkan
1993 Malaysia
1994 Tidak dianjurkan
1995 Iraq
1996–99 Tidak dianjurkan
2000 New Zealand
2001 Uzbekistan
2002–05 Tidak dianjurkan
2006 Myanmar
2007 Skuad B-23 Malaysia
2008 Skuad B-22 Vietnam
2009–12 Tidak dianjurkan
2013 Skuad B-23 Malaysia
2014–17 Tidak dianjurkan