Sabtu, 29 Disember 2018 | 12:38am
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) memeluk penjaga gol Alisson Becker (kanan) selepas perlawanan menentang Newcastle tamat di Anfield, kelmarin. - Foto EPA

Peluang terbaik Liverpool akhiri kemarau 29 tahun

KOLUM APA KATA EPL

TAHNIAH kepada Liverpool dan penyokong mereka atas kejayaan The Reds menggungguli carta Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi separuh musim yang berakhir pada 26 Disember lalu atau lebih dikenali Boxing Day di England.

Pasukan bimbingan Jurgen Klopp mendominasi liga dengan himpunan 51 mata, kelebihan enam mata selepas membelasah Newcastle, 4-0 di laman sendiri pada aksi ke-19 itu untuk meninggalkan Tottenham Hotspur di tempat kedua. Ketiga milik Manchester City yang dimalukan Leicester di laman lawannya itu.

Bersandarkan kepada rekod terdahulu yang menyaksikan majoriti pasukan berjaya mengungguli liga ketika separuh musim, memiliki peluang cerah merangkul kejuaraan pada penghujung saingan. Justeru, Liverpool yang kemarau kejuaraan selama 28 tahun, kini sudah berada di landasan itu.

Jadi tidak hairan, apabila penyokong The Reds di seluruh dunia mula berasa teruja sejak sambutan Boxing Day hingga menyebabkan Klopp sendiri turut berasa tekanan luar biasa ketika saingan separuh musim kedua mula membuka tirainya minggu ini.

Cuma penulis berharap peristiwa sepanjang 10 musim lalu tidak akan berulang lagi, apabila menyaksikan Liverpool dirundung malang sebanyak dua kali untuk bergelar juara ketika mereka gah dilihat mendominasi separuh musim, sebelum akhirnya tersungkur di penghujung saingan.

Malang yang menimpa pada musim 2008-2009 dan 2013-2014 itu pastinya tidak akan dilupakan The Reds dan penyokong tegar mereka sampai bila-bila. Tuah untuk bergelar juara sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan sejak 1990, jelas terlalu sukar untuk digapai mereka.

Sejarah EPL selama 10 musim lalu menunjukkan City bersama gergasi EPL lain seperti Manchester United dan Chelsea serta Leicester City berjaya menepati ramalan apabila muncul juara selepas menggunguli liga selepas Boxing Day.

Pada musim 2008-2009, kejuaraan liga menjadi milik United ketika Liverpool mengungguli separuh musim sebelum Chelsea mengambil giliran selepas itu. United kembali memenangi kejuaraan pada 2010-2011 diikuti City semusim selepas itu.

Pada musim ini 2012-2013, United kembali merampas kejuaraan, sebelum City tampil mengecewakan Liverpool semusim selepas itu. Chelsea menjadi juara pada musim 2014-2015, diikuti Leicester dan Chelsea sekali lagi selepas itu.

Musim lalu, trofi kejuaraan bertukar tangan lagi sekali dengan City yang dibimbing Pep Guardiola mengambil giliran selepas mendominasi carta liga ketika Boxing Day.Persoalannya sekarang dengan saingan berbaki 19 aksi lagi, mampukah Liverpool memecah kebuntuan, sekali gus mengikut jejak City, United, Chelsea atau Leicester atau terus dirundung malang lagi?

Arsenal bakal menjadi halangan pertama Liverpool apabila kedua-dua pasukan berentap di Anfield awal pagi esok waktu Malaysia. Pada pertemuan terakhir 4 November lalu di Emirates, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Dengan kedudukan The Gunners di tangga kelima ketika ini, pastinya mereka juga mahu memastikan mata penuh dibawa pulang untuk terus mengukuhkan peluang layak ke saingan ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Selepas Arsenal, Liverpool akan diuji pula oleh City pada 4 Januari.

Dalam aksi lain, pasukan ditangga keduaTottenham dijangka tiada masalah mengatasi Wolves untuk merapati Liverpool di puncak. Begitu juga Chelsea yang berkunjung ke Crystal Palace, mungkin tiada masalah curi tiga mata manakala United diramal melengkapkan kemenangan ketiga berturut-turut dibawa bimbingan Ole Gunnar Solskjaer berdepan Bournemouth tengah malam esok. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Brighton 1 Everton 1

Fulham 1 Huddersfield 1

Leicester 2 Cardiff 0

Tottenham 5 Wolves 1

Watford 2 Newcastle 2

Liverpool 1 Arsenal 1

Crystal Palace 1 Chelsea 2

Burnley 0 West Ham 0

Southampton 1 Man City 4

Man United 2 Bournemouth 1

* Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

Berita Harian X