Khamis, 27 Disember 2018 | 10:41pm
SEORANG penyokong kelab Inter Milan maut hari ini selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika pergaduhan membabitkan penyokong Napoli sebelum perlawanan Serie A membabitkan kedua-dua pasukan di San Siro. - Foto FMT
SEORANG penyokong kelab Inter Milan maut hari ini selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika pergaduhan membabitkan penyokong Napoli sebelum perlawanan Serie A membabitkan kedua-dua pasukan di San Siro. - Foto FMT

Peminat Inter Milan maut dilanggar

ROME: Seorang penyokong kelab Inter Milan maut hari ini selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika pergaduhan membabitkan penyokong Napoli sebelum perlawanan Serie A membabitkan kedua-dua pasukan di San Siro, semalam.

Ketua Polis Milan, Marcello Cadorna memberitahu wartawan insiden berkenaan terjadi selepas kira-kira 100 peminat Inter menyerang bas mini penyokong Napoli menggunakan rantai dan tukul.

Cadorna yang juga bekas pengadil Serie A berkata empat penyokong Napoli mengalami kecederaan dalam serangan yang disifatkan ‘mustahil dan sukar untuk dihalang’ itu.

Berikutan kekalutan itu, peminat Inter, Daniele Belardinelli, 35, dilanggar sebuah kenderaan yang dilihat seperti kenderaan utiliti sukan dan bukannya oleh bas mini penyokong Napoli berkenaan, menurut rakaman telefon insiden itu, kata Cadorna.

Peminat Inter membawa Belardinelli ke hospital berdekatan namun mangsa meninggal dunia sekali pun sudah menjalani pembedahan.

“Kamu tidak boleh mati disebabkan oleh perlawanan bola sepak,” kata Menteri Dalam Negeri, Matteo Salvini sambil menambah akan memanggil organisasi peminat untuk mengadakan perbincangan, bulan depan.

Cadorna berkata, polis menahan tiga penyokong Inter susulan keganasan berkenaan.

Inter menang perlawanan itu 1-0 yang menyaksikan dua pemain Napoli diarah keluar padang dalam aksi yang turut dicemari insiden perkauman membabitkan penyerang Napoli, Kalidou Koulibaly.

Datuk Bandar Milan, Giuseppe Sala, hari ini turut membuat permohonan maaf secara umum dengan menyifatkan bunyi-bunyian seperti monyet yang dilakukan penyokong Inter sebagai ‘tindakan memalukan’ dan meminta permohonan maaf daripada Koulibaly. - AFP

Berita Harian X