Khamis, 27 Disember 2018 | 7:55am
CARLO Ancelotti. - Foto EPA
CARLO Ancelotti. - Foto EPA

Ancelotti berang 'monyet' ganggu aksi di San Siro

ROME: Pengendali Napoli, Carlo Ancelotti menegaskan kelabnya beberapa kali meminta perlawanan Serie A menentang Inter Milan dihentikan susulan ejekan berbaur perkauman ke atas pertahanannya dari Senegal, Kalidou Koulibaly.

Koulibaly dibuang padang 10 minit sebelum tamat yang menyaksikan Napoli tewas 0-1 di San Siro dengan pemain gantian Lautaro Martinez menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan buat Inter.

Pertahanan tengah Koulibaly sebelum itu dilayangkan kad kuning kerana mengasari Matteo Politano dan kemudian kad kuning kedua menyusul selepas pemain itu secara sinis memberi tepukan kepada pengadil.

Pemain berusia 27 tahun itu terpaksa mengharungi perlawanan dengan bunyi ejekan seperti monyet oleh penyokong tuan rumah.

“Tiga kali kami meminta permainan dihentikan dan kemudian ada tiga pengumuman tapi perlawanan tetap diteruskan,” kata Ancelotti.

“Pemain saya terganggu, dia gagal mengawal perasaannya. Biasanya dia begitu tenang dan seorang pemain yang profesional tapi terdapat bunyi bising sepanjang permainan.

“Ia nampak seperti satu alasan tapi pemain itu terganggu. Ia tidak bagus, tidak untuk kami dan tidak untuk bola sepak Itali.

“Cara penyelesaiannya ada. Anda perlu menghentikan permainan. Anda hanya perlu tahu bila, selepas begitu banyak pengumuman. Jika anda tidak tahu, mungkin lain kali kami sendiri perlu menghentikannya.” – AFP

Berita Harian X