Isnin, 17 Disember 2018 | 8:15am
Mourinho menyifatkan kekurangan aspek fizikal susulan masalah kecederaan yang menimpa pemain sebagai punca skuad kendaliannya tumbang 3-1 kepada Liverpool. - Foto AFP
Mourinho menyifatkan kekurangan aspek fizikal susulan masalah kecederaan yang menimpa pemain sebagai punca skuad kendaliannya tumbang 3-1 kepada Liverpool. - Foto AFP

Mourinho salahkan fizikal punca tewas

LIVERPOOL: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menyifatkan kekurangan aspek fizikal susulan masalah kecederaan yang menimpa pemain sebagai punca skuad kendaliannya tumbang 3-1 kepada Liverpool di Anfield, awal pagi tadi.

United terpaksa membawa masuk pertahanan Eric Bailly ke dalam kesebelasan utama hanya beberapa minit selepas Chris Smalling mengalami kecederaan ketika sesi pemanas badan.

Mourinho berkata, masalah kecederaan sudah menjadi isu lama yang menjejaskan prestasi pasukannya.

"Pertama sekali, kami berdepan masalah berkaitan fizikal, kami mempunyai ramai pemain yang boleh dianggap sering mengalami kecederaan dan bukannya sejak di bawah saya malah sebelum saya lagi," katanya.

"Jika anda melihat statistik sewaktu (Louis) Van Gaal dan sebelumnya ketika David (Moyes), jika anda lihat tempoh itu terdapat ramai pemain yang cedera sepanjang masa, apabila sering ditimpa kecederaan, sukar untuk memastikan fizikal dalam keadaan terbaik."

Kepantasan dan gaya permainan agresif Liverpool membolehkan mereka mendominasi United sejak awal perlawanan dan Mourinho berkata, kelebihan mereka itu hasil daripada kualiti fizikal dimiliki barisan pemain Jurgen Klopp.

Pemain Liverpool, Roberto Firmino (kiri) bersaing dengan pemain Manchester United, Marcus Rashford dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool, Roberto Firmino (kiri) bersaing dengan pemain Manchester United, Marcus Rashford dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP

Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp (kiri) berjabat tangan dengan pemain Manchester United, Nemanja Matic selepas tamat perlawanan. - Foto EPA
Jurulatih Liverpool, Juergen Klopp (kiri) berjabat tangan dengan pemain Manchester United, Nemanja Matic selepas tamat perlawanan. - Foto EPA

"Terdapat kualiti yang dipunyai pemain atau tidak. Anda tidak boleh meningkatkannya. Sebagai contoh: (Andy) Robertson, (Sadio) Mane, (Mohamed) Salah, (Georginio) Wijnaldum, (Naby) Keita, Fabinho mereka semua pemain yang amat berfizikal di samping secara teknikalnya mereka sememangnya bagus."

"Saya juga mempunyai pemain yang bagus secara teknikalnya, tetapi kami tidak mempunyai ramai pemain bertenaga atau fizikal sebaik itu.

"Jadi bila perlawanan dimainkan dalam rentak yang tinggi ia menjadi sukar buat kami. 20 minit pertama adalah sukar bagi kami," kata Mourinho. -  REUTERS

Penyokong Liverpool mengibarkan bendera ketika menyaksikan perlawanan di Anfield. - Foto AFP
Penyokong Liverpool mengibarkan bendera ketika menyaksikan perlawanan di Anfield. - Foto AFP

Berita Harian X