Sabtu, 15 Disember 2018 | 7:31pm
Penyokong berarak dari kompleks Sogo melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. - NSTP/Rosdan Wahid
Ribuan penyokong mula membanjiri kawasan sekeliling seawal jam 6 petang. - NSTP/Rosdan Wahid

Dataran Merdeka macam Stadium Nasional

KUALA LUMPUR: Kehangatan aksi final kedua Piala AFF antara Malaysia menentang Vietnam turut dirasai di seluruh negara meskipun aksi sebenar berlangsung di Stadium Nasional, My Dinh, Hanoi, Vietnam malam ini.

Penyokong setia Harimau Malaya jelas tidak sabar menunggu perlawanan itu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen selain menyertai sesi tontonan menerusi skrin gergasi yang disediakan penganjur, terutamanya di sekitar ibu negara.

Di Dataran Merdeka, ribuan penyokong mula membanjiri kawasan sekeliling seawal jam 6 petang untuk menyertai 'Viewing Party', meskipun perlawanan dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam.

Kedengaran sorakan penuh bersemangat daripada penyokong setia serta nyanyian Ekor Harimau Malaya, menjadikan auranya bagaikan menyaksikan sendiri perlawanan di dalam stadium.

Turut diadakan persembahan selingan bagi memeriahkan suasana sebelum bermulanya perlawanan.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Nurul Khadijah Chahril, 20, berkata dia tetap memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe meskipun tidak dapat pergi ke Vietnam.

Dari kiri: Khadijah, Nurul Shazreena Rahman dan Aleesha Awatif Azmi.

“Saya dan rakan tiba di sini (Dataran Merdeka) sejak jam 6 petang tadi kerana ingin memberikan sokongan buat Harimau Malaya. Ini kerana saya sudah mengikuti skuad Malaysia sejak 2010.

“Walaupun tak dapat ke Vietnam tapi saya harap sokongan di Malaysia akan dapat membantu menaikkan semangat pemain di sana," katanya ketika ditemui dekat sini, hari ini.

Berdasarkan carian di media sosial, selain Dataran Merdeka, lokasi lain yang turut menyediakan skrin gergasi bagi menyaksikan perlawanan itu adalah di Pantai Eco Park, Pantai Dalam; Dataran Putrajaya Presint 3, Putrajaya dan Dataran Food Truck, PKNS, Bandar Baru Bangi serta venue lain di seluruh negara.

Pada aksi final pertama yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu, Harimau Malaya bangkit dua kali untuk mengikat Vietnam 2-2.

Malaysia melangkah ke final buat kali keempat selepas edisi pertama 1996, 2010 dan 2014 apabila menyingkirkan juara bertahan, Thailand menerusi peraturan gol di tempat lawan susulan keputusan seri 2-2 di Bangkok.

Ini pentas final kedua bagi Cheng Hoe selepas menjadi pembantu kepada jurulatih, Datuk K Rajagobal yang memenangi Piala AFF pertama dan terakhir pada 2010.

Berita Harian X