Jumaat, 14 Disember 2018 | 6:01pm
REAKSI pengendali Menchester City ketika pasukan bimbingannya mementang Hoffenheim pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, kelmarin. - Foto AFP

Peluang City kembali ke puncak

LONDON: Manchester City boleh kembali mengukuhkan kedudukan di persada Liga Perdana Inggeris malam esok ketika mereka menanti kehadiran Everton di Etihad.

Pendahulu liga ketika ini, Liverpool berdepan pertemuan sukar menentang pencabar utama, Manchester United pada Ahad dan hanya satu mata di atas Citizens.

Skuad kendalian Pep Guardiola terdesak untuk kembali mencari kemenangan selepas kekalahan pertama musim ini di tangan Chelsea minggu lalu, berdepan Everton yang menunjukkan keazaman baharu di bawah kendalian pengurus, Marco Silva.

Skuad Toffees juga memerlukan kemenangan dengan mereka jatuh ke tangga ketujuh dengan dua kekalahan dan dua seri dalam empat perlawanan terakhir.

Kebimbangan Guardiola mengenai kecederaan tidak berkurangan sejak kebelakangan ini.

Kecederaan terbaharu tonggak tengah, ​David Silva dan Fernandinho menyebabkan pengendali dari Sepanyol itu kekurangan pilihan dengan pemain bintang, ​Kevin De Bruyne meneruskan pemulihan selepas satu lagi kecederaan lutut serius.

Guardiola mendakwa pada pertengahan minggu beliau hanya memiliki 15 pemain utama yang cergas untuk dipilih menjelang saingan Liga Juara-Juara berdepan Hoffenheim bermakna sebarang penggiliran pemain akan terhad pada tempoh Krismas.

Everton memiliki skuad hampir cergas sepenuhnya untuk pertembungan malam esok walaupun tanpa James McCarthy yang tidak bermain sejak Januari lalu kerana patah kaki.

Keputusan terbaharu membuktikan skuad Toffees sentiasa memberikan kesukaran kepada pasukan bimbingan Guardiola, dengan City tewas sekali dan seri dua kali dalam empat perlawanan terakhir berdepan skuad kendalian Silva.

Kemenangan Everton 4-0 mengatasi City pada Januari 2017 menjadi kemenangan terbesar mereka di Manchester City sejak 1986. - Agensi

Berita Harian X