Selasa, 11 Disember 2018 | 10:10am
GELAGAT penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah
GELAGAT penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah

Bawa bekalan selesa ke Hanoi

APA KATA PENYOKONG HARIMAU MALAYA

AKHIRNYA Harimau Malaya berjaya kembali semula ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2018. Kali terakhir kita layak adalah pada tahun 2014.

Ironinya, kita mengetepikan juara edisi 2016 iaitu Thailand yang seringkali menjadi batu penghalang dalam usaha kita untuk menjadi juara piala terunggul di Asia Tenggara.

Walaupun layak ke perlawanan akhir dengan peraturan gol tempat lawan, kejayaan itu sangat dramatik kerana kegagalan Adisak Kraisorn mengambil sepakan penalti pada minit akhir perlawanan.

Tambahan lagi dengan permainan psikologi oleh Chaichat Prudom mengenai “mimpi ngeri’ terhadap pasukan Harimau Malaya.

Ia tercatat sebagai kejayaan yang berwarna-warni. Aksi malam ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi gelanggang keramat buat skuad Harimau Malaya.

Sudah tentu dengan kebanjiran penonton yang akan mencecah 85,000 orang, akan menggamatkan suasana stadium seperti dalam perlawanan separuh akhir sebelum ini.

Pemain Harimau Malaya harus melupakan episod kekalahan dalam perlawnan peringkat kumpulan dengan Vietnam.

Permainan anda dipuji dengan penguasaan bola yang tinggi, cuma dikejutkan dengan serangan balas yang pantas oleh Vietnam.

Ternyata Vietnam memiliki penyudah yang bagus dan pantas. Peminat berharap taktikal pada malam ini akan mendapatkan seberapa banyak gol sebagai bekalan yang selesa ke Hanoi pada Sabtu ini.

Penguasaan bola yang tinggi tidak cukup jika ia tidak diterjemahkan kepada gol.

Apabila dapat menjaringkan gol, janganlah cepat leka dan berpuas hati dengan satu gol.

Ingat, matlamat adalah bawa bekalan selesa. Sekurang- kurangnya tiga gol tanpa bolos.

Ini kerana kita tidak boleh jangka situasi yang akan berlaku dalam kunjungan ke Hanoi nanti.

Kepada Mat Yo, peminat berharap anda terus dapat menjaringkan gol dan kurangkan ‘gelek’ yang nampak memperlahankan serangan.

Kepada Safawi, peminat berharap anda mantapkan rembatan tepat ke arah gawang dan semestinya gol.

Pastikan rembatan anda padu dengan memastikan bola kekal di planet Bumi lagi bukan ke planet Pluto.

Kepada Zaquan Adha, peminat berharap anda terus memberikan tekanan kepada pertahanan lawan dan menjaringkan gol.

Kami tidak kisah anda gunakan apa sahaja anggota badan untuk jaringkan gol asalkan bukan tangan anda.

Kepada semua pemain yang akan diturunkan harapan kami anda fokus dan jangan leka selagi tiupan wisel penamat tidak bergema.

Ini adalah peluang untuk anda mencipta sejarah setelah ‘generasi’ Safee Sali berjaya merealisasikannya.

Peminat mahu Harimau Malaya menang pada malam ini dan berikan berita gembira di Hanoi nanti.

Tahun ini pasti Piala AFF Suzuki akan jadi milik kita.

Berita Harian X