X
Isnin, 10 Disember 2018 | 4:14pm
JURULATIH Vietnam, Park Hang-Seo pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
JURULATIH Vietnam, Park Hang-Seo pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Guna kertas, gerakan badan beri arahan pada pemain

 

KUALA LUMPUR: Menyedari rintangan bakal ditempuhi anak buahnya pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, pengendali Vietnam, Park Hang-Seo akan menggunakan 'alat rahsia' untuk berkomunikasi dengan pemainnya ketika menentang Malaysia nanti.

Tegasnya, dengan kehadiran lebih 80,000 penyokong tegar skuad Harimau Malaya, sudah tentu agak sukar buatnya memberi arahan kepada pemain.

Lantas, jurulatih dari Korea Selatan itu mendedahkan akan menyediakan kertas mengandungi nota sekiranya ada sebarang perubahan daripada segi taktikal atau strategi ketika di dalam padang.

"Ia bukan mudah untuk beraksi di depan penyokong yang begitu ramai nanti. Malah, ini juga adalah pengalaman pertama buat kebanyakan pemain saya yang masih muda apabila berdepan dengan puluhan ribu penyokong.

"Masalah komunikasi pasti akan berlaku dan kami akan menggunakan kertas untuk disampikan kepada pemain jika ada maklumat yang mahu diberikan kepada pemain.

"Selain kertas, pergerakan badan juga akan jadi alat komunikasi kami. Semuanya sudah saya terangkan kepada pemain dan mereka bersedia menghadapi perlawanan ini," katanya pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Penampilan skuad Naga Emas pada edisi AFF kali ini cukup mengagumkan apabila muncul satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam semua aksi.

Vietnam kini menduduki ranking ke-100 dunia mempamerkan persembahan cemerlang dan turut menundukkan Malaysia 2-0 pada aksi peringkat Kumpulan A di Hanoi, bulan lalu.

Namun, Hang-Seo mengingatkan anak buahnya untuk lebih berwaspada terhadap kebangkitan Malaysia apatah lagi dengan rekod kurang baik Vietnam setiap kali berdepan Harimau Malaya dalam aksi timbal balik.

"Malaysia menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Mereka akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri dan ia akan beri kelebihan kepada tuan rumah.

"Saya harap pemain akan mampu menyerap tekanan dan cuba bermain mengikut taktikal yang sudah dirancang," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X