Isnin, 10 Disember 2018 | 2:26pm
TAN Cheng Hoe pada sidang media bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah
TAN Cheng Hoe pada sidang media bagi perlawanan akhir pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Asyraf Hamzah

Cheng Hoe harap sokongan padu penyokong

 

KUALA LUMPUR: Aura 'berapi' Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi ditagih skuad Harimau Malaya apabila turun melayan kunjungan Vietnam pada aksi final pertama Piala AFF 2018 bagi membawa kelebihan jaringan sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik Sabtu ini.

Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe berkata, sokongan padu penyokong setia amat diperlukan seperti ketika menang ke atas Myanmar 3-0 (Kumpulan A) dan seri tanpa jaringan dengan Thailand (separuh akhir pertama) sebelum ini.

"Kita tahu pasukan Vietnam satu pasukan cukup kuat dan kita kena ambik peluang sebaik-baiknya apabila beraksi di gelanggang sendiri dengan 80,000 penyokong tempatan akan berada di stadium nanti.

"Dengan sokongan padu itu, pemain akan dapat semangat, motivasi dan aura berbeza. Dalam bola sepak sudah semestinya bila kita dapat gol baru boleh menang, jadi pemain perlu gunakan peluang di tempat sendiri untuk mencipta jaringan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pra-perlawanan final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Semalam keghairahan penyokong tempatan terserlah apabila ribuan penyokong berasak-asak untuk mendapatkan tiket dengan semua 80,000 tiket dijual hanya dalam tempoh setengah jam kaunter di buka pada jam 10 pagi.

Sememangnya sokongan padu 'pemain ke-12' terbukti berkesan apabila Myanmar dan Thailand yang diletakkan sebagai pasukan pilihan gagal beraksi dengan baik di Bukit Jalil.

Jelas Cheng Hoe lagi, biarpun rekod pasukan sedikit tercalar pada kempen AFF kali ini selepas tewas 0-2 kepada Vietnam di peringkat kumpulan sebelum ini, beliau percaya anak buahnya sudah belajar daripada kekalahan itu dan bersedia untuk mengecewakan skuad kendalian Park Hang-Seo itu.

"Saya yakin jurulatih Vietnam akan menganalisa dan membuat persediaan menentang kita. Tapi saya tetap ada keyakinan tinggi terhadap pemain yang mereka mampu memberi kejutan terbesar kepada Vietnam malam esok," katanya.

Beliau yang pernah menjulang trofi berkenaan pada 2010 sebagai penolong jurulatih, Datuk K Rajagobal turut mengesahkan bakal melakukan rombakan kecil di bahagian pertahanan selepas dua tonggak iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syazwan Andik masih belum pulih sepenuhnya.

"Aidil dan Syazwan masih belum berlatih bersama pasukan lagi dan kita akan pantau mereka hingga esok. Kita perlukan kesebelasan utama namun walau sesiapa diturunkan nanti diharapkan boleh bagi impak yang sama untuk pasukan," jelas bekas pengendali Kedah itu.

Berita Harian X