Isnin, 3 Disember 2018 | 4:20pm
Perancang tengah Thailand, Sanrawat Detchmitr. - Foto foxsportsasia.com/
Perancang tengah Thailand, Sanrawat Detchmitr. - Foto foxsportsasia.com/

Kelebihan milik kami - Detchmitr

KUALA LUMPUR: Walaupun gagal membawa sebarang bekalan gol tempat lawan, Thailand tetap dianggap memiliki kelebihan berbanding Malaysia menjelang aksi separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, Rabu ini.

Skuad Gajah Perang yang terikat tanpa jaringan dengan Harimau Malaya pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu wajib menang di Bangkok untuk melangkah ke final.

Perancang tengah Gajah Perang, Sanrawat Detchmitr menegaskan Thailand yang juga juara bertahan Piala AFF perlu memberikan aksi terbaik sekiranya enggan kecewa di halaman sendiri.

“Kami gagal menjaringkan gol kerana tidak berjaya mencipta banyak peluang,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar Thailand, Bangkok Post.

“Sangat membosankan apabila kami lebih bermain secara bertahan dan melakukan kesilapan. Saya faham semua pemain, termasuk saya bosan dengan corak bertahan.

“Tapi kelebihan menjadi milik kami ketika ini apabila tidak melepaskan gol kepada lawan. Keputusan aksi kedua bergantung kepada kami, bukan Malaysia.

“Namun, jika kami masih beraksi seperti itu (aksi pertama), tiada apa yang boleh dikatakan. Kami perlu menang di Stadium Rajamangala.”

Rekod Thailand di laman sendiri tampak gah apabila sudah mengumpul 14 gol di Stadium Rajamangala sepanjang Piala AFF kali ini.

Skuad Gajah Perang yang mensasarkan untuk mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut tidak memiliki pilihan untuk mara ke final selain menang ke atas Harimau Malaya.

Thailand muncul juara pada 2014 selepas menundukkan Malaysia dengan agregat 4-3 sebelum mengekalkan kejuaraan dua tahun lalu apabila menang menerusi agregat 3-2 ke atas Indonesia di final.

Berita Harian X