Isnin, 3 Disember 2018 | 3:37pm
GAMBAR fail, Mohamad Syahmi Safari (kiri) dan Muhammad Safawi Rashid menghalang pemain Thailand, Pakom Pampak (tengah) ketika pertemuan separuh akhir pertama Malaysia menentang Thailand, di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
GAMBAR fail, Mohamad Syahmi Safari (kiri) dan Muhammad Safawi Rashid menghalang pemain Thailand, Pakom Pampak (tengah) ketika pertemuan separuh akhir pertama Malaysia menentang Thailand, di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Harap rezeki di Bangkok

KUALA LUMPUR: Malaysia mengharapkan ‘rezeki’ di Bangkok memihak Harimau Malaya untuk mengatasi Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF, Rabu ini.

Pertahanan negara, Syahmi Safari menganggap rezeki masih belum berpihak kepada Harimau Malaya apabila terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Satdium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu walaupun mendapat beberapa peluang terhidang.

Justeru, pemain Selangor itu menjelaskan beberapa aspek perlu diperkemaskan menjelang tugas lebih getir di Stadium Rajamangala terutama dalam melakukan penyudah di depan gol.

“Kami banyak mencipta peluang (pada aksi di Bukit Jalil), cuma rezeki belum sampai lagi untuk kami menjaringkan gol dan ada beberapa aspek yang perlu kami pertingkatkan terutama dalam melakukan penyudah.

“Moral semua pemain dalam keadaan baik, tapi mungkin sedikit kecewa sebab tidak dapat mendapatkan gol di gelanggang sendiri. Tapi masih ada satu perlawanan lagi di Thailand dan kami perlukan jaringan untuk menang.

“Perlawanan di Bangkok akan berlainan dan penyokong Thailand juga pasti akan memenuhi stadium sama seperti penyokong Harimau Malaya di Bukit Jalil.

“Paling penting ketika ini kami perlu menyerap segala tekanan dan tampil dengan aksi lebih baik,” kata pemain muda berusia 20 tahun itu yang kini menjadi tonggak penting Harimau Malaya.

Harimau Malaya hanya memerlukan sekurang-kurang keputusan seri 1-1 di Bangkok untuk mengesahkan tempat ke final, sekali gus memusnahkan impian Gajah Perang mempertahankan kejuaraan.

Namun, kehebatan Thailand di Stadium Rajamangala tampak menggerunkan apabila mereka sudah meledak 14 gol di gelanggang itu sepanjang peringkat kumpulan Piala AFF kali ini.

Bagi Syahmi, rekod cemerlang skuad Gajah Perang itu tidak boleh dijadikan alasan buat Harimau Malaya tidak mampu melakar kejutan di gelanggang lawan.

“Dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, kami cuma kena kekalkan momentum permainan dan memperbaiki segala kelemahan di Bangkok nanti.

“Kami juga perlu yakin kepada pasukan sendiri dan tidak boleh terlalu menghormati lawan walaupun ramai orang menganggap mereka lebih kuat dari kami,” katanya.

“Semua pemain sudah menunjukkan komitmen tinggi dan bekerja keras pada aksi pertama. Kami tidak melepaskan gol di tempat sendiri dan ia juga menjadi satu kelebihan untuk ke Bangkok.”

Berita Harian X