Isnin, 3 Disember 2018 | 2:33pm
Pemain skuad Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj dan Syazwan Zaidon memeriksa bagasi di kaunter pendaftaran masuk di KLIA sebelum berlepas ke Bangkok bagi aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2018 menentang Thailand, Rabu ini. - Foto Aziah Azmee
Pemain skuad Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj dan Syazwan Zaidon memeriksa bagasi di kaunter pendaftaran masuk di KLIA sebelum berlepas ke Bangkok bagi aksi kedua separuh akhir Piala AFF 2018 menentang Thailand, Rabu ini. - Foto Aziah Azmee

Tak ada Sumareh 'no problem'

SEPANG: Kecederaan dua tonggak utama, Mohamadou Sumareh dan Syazwan Andik langsung tidak menggusarkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika skuad kendaliannya bakal mengharungi aksi penting berdepan Thailand di separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Rajamangala, Bangkok, Rabu ini.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, beliau kemungkinan terpaksa membuat rombakan kecil sekiranya dua pemain berkenaan tidak cepat sembuh daripada kecederaan hamstring dialami ketika menentang lawan sama pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, segala kemungkinan itu hanya akan diputuskan selepas meneliti laporan doktor pasukan sama ada perlu menukarkan Sumareh serta Syazwan dengan beliau bersedia menyenaraikan penyerang muda Kedah, Akhyar Rashid dan tonggak pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

"Untuk perkembangan pemain saya rasa semua nampak 'OK', cuma Sumareh dan Syazwan masih lagi mengalami kecederaan.

"Saya harap dalam dua hari ini pemain akan dapat pulih 100 peratus dan saya akan dapatkan pengesahan daripada Doktor perubatan pasukan tentang tahap kecederaan mereka sebelum membuat apa-apa perubahan.

"Tapi yang penting walau siapa pun diturunkan semua pemain kena bersedia dan saya percaya mereka boleh menggalas tugas untuk menggantikan mana-mana yang cedera," katanya ketika ditemui beberapa jam sebelum skuad negara bertolak ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Tegasnya, Akhyar kini berada pada tahap terbaik untuk diturunkan bagi mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang bakal dipimpin ketua pasukan skuad Gajah Perang, Chalermpong Kerdkaew.

"Kita tahu Akhyar mempunyai satu potensi yang besar dan boleh memberi sesuatu dan mengancam pertahanan Thailand. Tapi yang penting, saya mahu semua pemain bersedia apabila diperlukan," katanya.

Pada aksi pertama di Bukit Jalil Sabtu lalu, skuad Harimau Malaya yang mendapat sokongan 87,000 penyokong sendiri gagal membawa bekalan ke Bangkok selepas terikat tanpa jaringan sekali gus calon finalis bagi edisi kali ke-13 itu akan ditentukan di bumi Thailand.

Satu lagi separuh akhir menyaksikan bekas juara 2008, Vietnam semakin hampir ke pentas final selepas berjaya melakar kemenangan 2-1 di tempat lawan dengan menundukkan Filipina dan akan beraksi di Hanoi Khamis ini.

Final dijadualkan berlangsung secara timbal balik dengan final pertama pada 11 Disember dan aksi kedua empat hari kemudian.

Berita Harian X